‘Hidup rakyat sejahtera, terbela’

‘Hidup rakyat sejahtera, terbela’

KESTABILAN ekonomi keluarga dan kemampuan merancang masa depan menjadi aspek penting mencerminkan erti kemerdekaan masa kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957 bukan sahaja menjadi lambang kebebasan daripada penjajah, malah turut membawa makna lebih luas dalam kehidupan rakyat masa kini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata masyarakat daripada pelbagai lapisan umur berpendapat, erti merdeka pada masa ini bukan sahaja tentang sejarah perjuangan lampau, sebaliknya merangkumi usaha memastikan rakyat memperoleh kehidupan aman, sejahtera dan terbela daripada segi ekonomi dan sosial.

Bagi pekerja kilang, Rosnani Mohd. Nor, 58, kemerdekaan menandakan peluang rakyat menikmati kehidupan stabil daripada segi pekerjaan dan kesejahteraan keluarga.

Katanya, kestabilan ekonomi keluarga dan kemampuan untuk merancang masa depan menjadi aspek penting mencerminkan erti kemerdekaan pada masa kini.

“Rakyat patut bekerja dalam suasana adil dan selamat di mana pendapatan dinikmati itu, cukup menampung keperluan keluarga tanpa rasa tertekan.

“Selagi harga barang mahal dan gaji tidak seimbang, rakyat tidak akan merasai kemerdekaan yang sebenar. Jika peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat terbela, barulah nikmat kemerdekaan dapat dirasai sepenuhnya,” katanya.

Pegawai Pemasaran, Siti Erwanni Azmy, 43, berkata, kemerdekaan bererti jaminan ke­selamatan dan kestabilan dalam negara kerana suasana aman dan bebas daripada jenayah serta ancaman luar adalah asas penting untuk rakyat mengecapi kemerdekaan sebenar.

Katanya, isu keselamatan si­ber, penyebaran berita palsu dan budaya negatif di media sosial antara perlu ditangani kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Merdeka bila rakyatnya hidup dalam persekitaran selamat, sama ada di jalan raya mahupun di alam maya.

“Justeru kerajaan perlu lebih tegas mengawal penyebaran maklumat palsu dan pengaruh negatif yang menggugat perpaduan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bagi peniaga, Muhammad Ilham Fuad, 26, pencapaian negara mengecapi kemerdekaan, sebagai peluang berdikari dan membina kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.

Lebih-lebih lagi, generasi muda kini bukan lagi berjuang menentang penjajah, sebaliknya berdepan cabaran mencari ruang dalam ekonomi yang tidak menentu.

“Sokongan kerajaan terhadap usahawan belia amat penting supaya anak muda seperti saya dapat terus menyumbang kepada negara.

“Tanpa peluang dan bim­bingan mencukupi, semangat untuk menyumbang kepada negara mungkin terbatas sekali gus melemahkan erti sebenar kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, erti merdeka buat graduan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM), Fazlin Nisrin Ferdinand Bakri, 25, ialah kebebasan bersuara, peluang pendidikan adil dan ruang mengejar cita-cita tanpa diskriminasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN