Agih 10,000 Jalur Gemilang demi semarakkan semangat merdeka

Agih 10,000 Jalur Gemilang demi semarakkan semangat merdeka

HASMIZA (tiga dari kanan) ketika menghadiri Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sebanyak 10,000 helai Jalur Gemilang akan diedar oleh Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Pulau Pinang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Pengarahnya, Hasmiza Hussin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 6,500 helai akan diagih menerusi Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung hari ini dan esok.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan berkonsepkan penyerahan Jalur Gemilang dengan membawa bendera itu ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.

“Program ini diselaraskan oleh JaPen mengikut jadual yang telah ditetapkan dan hari ini, ia telah pun berada dalam negeri Pulau Pinang.

“Secara umumnya, program ini meliputi tiga ‘check point’ iaitu Jambatan Pinang Tunggal, Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), Bertam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh sebelum penyerahan Jalur Gemilang itu akan diteruskan ke SMK Panglima Bukit Gantang di Perak.

“Selebihnya, Jalur Gemilang ini akan diagihkan menerusi pelbagai program yang telah kita susun atur sepanjang bulan ini sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri KMJG 2024 di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd Abdul Rahman Ismail.

Seramai 120 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang menyertai konvoi terbabit yang melibatkan lebih 20 buah kenderaan jabatan dan agensi selain lebih 20 buah motosikal berkuasa besar

Dalam pada itu, Hasmiza berharap agar rakyat negeri ini bersemangat untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan menghias setiap premis dan kediaman masing-masing dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cinta terhadap tanah air.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kita pada bumi Malaysia yang bertuah ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN