PETALING JAYA: Suasana sedih dan pilu menyelubungi suasana pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah apabila sembilan jenazah mangsa nahas insiden pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam dibawa keluar untuk urusan pengebumian, semalam.
Semua jenazah dibawa keluar secara berperingkat selepas selesai proses pengecaman terhadap 200 cebisan anggota badan tengah malam semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengesahan kesemua 10 identiti mangsa tragedi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dibuat menerusi proses pengecaman melalui cap jari, asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan pergigian.
DESTINASI
Kesemua sembilan jenazah terlebih dahulu diurus dan disolatkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah pada pukul 12.25 tengah hari sebelum dibawa ke destinasi berbeza untuk dikebumikan.
Jenazah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53, dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Allahyarham yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dikebumikan kira-kira pukul 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anaknya, Muhammad Hafiz Naqiuddin.
Di Sepang, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, 12.50 tengah hari selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin.
Seorang lagi mangsa, Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Sementara itu, jenazah Khairil Azwan Jamaludin, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang kira-kira pukul 1.50 tengah hari selepas disolatkan di kediaman ibu bapa Allahyarham yang diimamkan anak sulungnya, Khairul Harisin, 14.
Selain itu, seorang lagi mangsa Mohammad Naim Fawwas, 35, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira pukul 2 petang.
JURUTERBANG
Di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, suasana sedih ketika majlis pengebumian juruterbang pesawat, Heikal Aras Abdul Azim, 45, pukul 2.20 petang dengan bacaan talkin dilakukan Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.
Seorang lagi juruterbang pesawat peribadi Beechcraft 390 (Premier 1), Shahrul Kamal Roslan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates pada pukul 2.30 petang dalam suasana hujan lebat yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.
Sementara itu, jenazah Ketua Unit Penguat Kuasa Agama Pejabat Agama Islam Raub, Idris Abdol Talib@Ramali, 41, dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Baraq Benus, Bentong untuk dikebumikan.
Seorang lagi mangsa, Shaharul Amir Omar, 49, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Fasa 3C pada 3.41 petang selepas disembahyangkan di Masjid Jamie’ Al-Ikhwan Desa Manjung Raya, Perak pada 2.38 petang
Kelmarin, jenazah penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani. – UTUSAN










