KUALA LUMPUR: Desakan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak relevan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Adnan Seman berkata, biarpun sentimen ‘antizahid’ rancak, desakan untuk beliau berundur bukan tindakan tepat.
“Berkenaan sentimen ‘antizahid’, ramai mengatakan UMNO tidak wajar meletakkan kesalahan ke atas presiden parti sebaliknya semua pihak perlu mengambil tanggungjawab. Perbandingan dibuat dengan parti lain seperti PKR dan Bersatu yang mana ahlinya tetap pertahankan pemimpin walaupun didakwa di mahkamah atau didapati bersalah.
“Malah sekiranya Ahmad Zahid berundur sekalipun, penggantinya tetap akan diserang habis-habisan dan ia tidak menyelesaikan masalah mahupun sentimen penolakan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengakui BN sedang menghadapi penolakan rakyat khususnya orang Melayu.
Presiden UMNO itu berkata, keadaan tersebut menuntut BN supaya bergerak lebih agresif untuk membina semula keyakinan rakyat.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, mandat wajar diserahkan kepada perwakilan UMNO untuk membuat keputusan semasa pemilihan parti.
“Malah, ia menutup ruang dan hak perwakilan membuat keputusan selepas kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum (PRU15). Pemilihan parti tidak wajar ditangguhkan kali ini. Ia perlu dilaksanakan mengikut tempoh tiga tahun (awal tahun 2026).
“Semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden mesti dipertandingkan. Berilah peluang kepada akar umbi parti untuk memilih kepimpinan di setiap peringkat agar siapa sahaja yang terpilih dan dirasakan sesuai untuk mengemudi parti berdepan PRU16,” katanya. – UTUSAN










