Shuhaily dipilih berdasarkan integriti, pengalaman

Shuhaily dipilih berdasarkan integriti, pengalaman

RAZARUDIN Husain (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Ayob Khan Mydin Pitchay dengan Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kanan) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilihan Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlandaskan pengalaman, integriti dan kemahiran dimilikinya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, terdapat beberapa nama lain turut diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan berkenaan.

“Pemilihan nama dibuat oleh saya dan Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut mengikut senioriti, pengalaman, umur dan integriti.

“Kita bukan memilih secara hand-picked tetapi kita ada beri tiga atau empat nama pegawai dalam pemilihan ini,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ di sini, semalam.

Menurut Razarudin, prestasi yang ditunjukkan Shuhaily memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk memi­lihnya ke jawatan tersebut.

“Beliau pernah menjadi Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) PDRM di Washington, Amerika Syarikat selama tiga tahun, kemudian menjadi Ketua Polis Daerah Teluk Intan.

“Beliau juga memegang jawatan Ketua Polis Pulau Pinang serta Ketua Polis Kuala Lumpur. Justeru, saya yakin beliau akan memberi komitmen dan momentum yang sama khususnya di Jabatan Siasatan Jenayah amnya kepada PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan mengambil ke­terangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung tindakannya menayangkan kertas undi semasa proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Katanya, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Razarudin turut mengesahkan menerima permohonan secara lisan berhubung tindakan mengenakan notis merah terhadap menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muh­yiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam.

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan yang akan diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN