MIRI: Tindakan masyarakat yang terbuka dan tidak mengasingkan atau mendiskriminasi Orang Hidup Dengan AIDS (OHDA) untuk menjalani kehidupan dapat membendung wabak itu menjelang 2030, tegas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas beliau, tidak ada sebab untuk komuniti berasa takut berada di sekeliling mereka kerana golongan OHDA ini tidak mudah menjangkiti melalui sentuhan biasa mahupun udara di sekeliling kita.
“Kerajaan Negeri Sarawak tidak memandang mudah memerangi AIDS dan HIV walaupun jumlah kes yang agak kecil dengan saiz populasi negeri ini.
“Malah, kita menyasarkan untuk berada di barisan hadapan dalam tindak balas AIDS dan HIV serta mengalu-alukan usaha bekerjasama dengan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) seperti Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dalam menerajui usaha ini,” katanya pada majlis makan malam MAF, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan teks yang dibaca oleh wakil Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting.
Abang Johari turut mendedahkan Kerajaan Sarawak sentiasa mendukung usaha Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) untuk menamatkan wabak AIDS menjelang 2030.
“Sarawak sedar sepenuhnya bahawa HIV dan AIDS adalah salah satu teras yang ditekankan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan menyasarkan untuk menamatkan wabak AIDS menjelang 2030.
“Justeru, kerajaan Sarawak komited untuk memenuhi Matlamat SDG yang sememangnya digariskan di bawah rangka tindakan Sarawak Lestari.
“Kepentingan untuk menangani cabaran ini memerlukan usaha bekerjasama dengan rangka kerja yang diterajui Kementerian Kesihatan untuk menyelaraskan usaha memerangi HIV dan AIDS sekali gus mencapai status kesihatan yang lebih baik untuk kepada penduduk di Sarawak,” tambah Abang Johari.
Dalam perkembangan yang sama, Abang Johari menggesa agar golongan yang berisiko dijangkiti AIDS dan HIV tampil melangkah dapatkan rawatan.
“Ia adalah satu-satunya cara untuk memerangi virus ini dan mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan, seterusnya memberikan harapan agar tidak mudah berputus asa.
“Kerajaan melaburkan usaha yang besar dalam melengkapkan kemudahan di hospital awam dan fasiliti kesihatan lain yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan pencegahan AIDS dan HIV kepada mereka yang memerlukan.
“Usaha berterusan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluaskan rawatan HIV melangkaui Kuching ke bandar dan pekan kecil di Sarawak merupakan langkah penting dalam masyarakat memainkan peranan memperkasakan golongan berisiko ini dengan pengetahuan yang mereka perlukan untuk melindungi diri mereka dan orang lain,” katanya lagi.
Bagaimanapun Abang Johari turut menegaskan program pendidikan dan kesedaran terhadap AIDS dan HIV perlu diteruskan secara komprehensif kepada individu berisiko dan komuniti setempat di Sarawak agar pengetahuan dan pencegahan awal dapat dilakukan.
Baru-baru ini, Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menubuhkan Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) Cawangan Miri yang merupakan sebuah pusat sokongan sehenti untuk Orang Yang Hidup Dengan AIDS/HIV (OHDA).
TKTN merupakan kemudahan pertama dan satu-satunya di Sarawak yang menyediakan kemudahan asrama untuk pesakit HIV berpendapatan rendah dari luar bandar Sarawak untuk tujuan menginap apabila mereka mendapatkan rawatan di fasiliti hospital.
Pusat tersebut juga berfungsi sebagai pusat sokongan sehenti untuk komuniti HIV tempatan.
TKTN Cawangan Miri merupakan cawangan kedua ia ditubuhkan di Sarawak, selepas Kuching.-UTUSAN










