#RestartPermatang simbolik pembaharuan kuasa

#RestartPermatang simbolik pembaharuan kuasa

UMNO Melayu
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DEBARAN julung kali bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) nyata dirasai NURUL SYAZWANI NOH, 35, yang memikul amanah besar sebagai calon muda atas tiket Perikatan Nasional (PN). Bukan sekadar tekad merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, beliau mahu membuktikan kemampuan dan semangat jitu diri sama seperti bapanya, Tan Sri Noh Omar.

Kepada wartawan Utusan Malaysia ISKANDAR SHAH MOHAMED, Ketua Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang itu menyatakan aspirasi dan visi jika mendapat mandat rakyat esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai calon muka baharu apakah sandaran utama PN di utara Selangor?

Perasaan itu bercampur baur termasuk gemuruh dan berdebar kerana menggalas tanggungjawab besar bagi memenangkan kerusi ini. Namun, saya tidak sesekali gerun kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip terus nekad membawa suara dan menyelesaikan isu rakyat.

Siapakah watak penting dan aspirasi yang mendorong memasuki kancah politik selain karier sebagai peguam?

Individu itu semestinya ‘abah’ saya (Noh) yang tidak pernah jemu memberi dorongan dan sokongan tanpa berbelah bahagi sejak saya berusia lima tahun. Saya meminati dunia politik ini kerana bukan saja mampu membantu segenap lapisan rakyat malah membentuk dasar negara yang stabil dan berjaya.

Seandainya diberi mandat apakah fokus utama bagi DUN Permatang?

Banyak isu rakyat dilihat kurang mendapat perhatian oleh kerajaan negeri antaranya berkaitan masalah tanah, caj parkir dan kebajikan petani, pesawah serta nelayan setempat. Selain itu, Permatang perlu dijadikan sebagai hab pengeluaran makanan kerana mempunyai kepelbagaian tanaman dan hasil pertanian termasuk sawah padi.

Apa erti #RestartPermatang yang menjadi tanda pagar kempen kepada pengundi terutama anak muda?

Restart Permatang itu menjadi simbolik hasrat utama saya dalam melakukan pembaharuan kuasa dan pentadbiran yang lebih mesra rakyat serta berkebajikan demi ge­nerasi masa depan.
Selain membina satu Keluarga Tanjong Karang di bawah satu bumbung, saya mahu membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat yang kian terbeban kos sara hidup. Saya turut mahu terus mendekati golongan anak muda yang memerlukan perhatian serius terutama menyediakan peluang pekerjaan dan kemudahan lain.

Menjelang hari pengundian esok, apakah harapan utama kepada pengundi?

Semua orang tahu bapa saya yang menjadi ahli Parlimen selama enam penggal sentiasa memfokuskan kebajikan rakyat tanpa mengira parti, agama dan kaum. Namun, semua itu diperoleh hasil sokongan kuat pengundi yang terus memilih beliau (Noh) sebagai wakil rakyat sejak sekian lama.
Justeru, rakyat dimohon memberi peluang kepada saya untuk membalas semula budi dan terus menabur bakti kepada mereka. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×