PRN: Polis perketat kawalan keselamatan di lokasi strategik

PRN: Polis perketat kawalan keselamatan di lokasi strategik termasuk Istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan akan diperketatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi-lokasi strategik yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sebaik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini, diumumkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara lokasi terbabit adalah Istana Negeri dan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kata beliau, keselamatan di sesebuah Istana itu adalah amat penting kerana tidak mahu berlaku apa-apa gangguan terhadap Istana pada tengah-tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

“PDRM akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dan keadaan aman berdasarkan perlembagaan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Razarudin berkata, pelaksanaan penugasan pada PRN di enam negeri ini sudah bermula sejak sebelum penamaan calon, hari penamaan calon dan semasa tempoh berkempen yang dijadualkan berakhir tengah malam esok.

“Apabila dibubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan enam negeri dalam PRN ini, kita (polis) sudah memulakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Seramai 36,492 pegawai dan anggota PDRM sudah bersedia mengawasi perjalanan PRN dengan dibantu Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan komitmen kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau dihalang oleh mana-mana pihak.

“Bagi saya sebagai KPN, timbalan saya, Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini, kami bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Mengulas mengenai situasi semasa sejak hari penamaan calon 29 Julai sehingga 8 Ogos (Selasa) sebanyak 1,524 laporan polis dibuat sepanjang Ops PRN di enam negeri.

Laporan polis tertinggi direkodkan di Selangor dengan 629 jumlah laporan, diikuti Terengganu (289), Kedah (249), Kelantan (213), Negeri Sembilan (111) dan Pulau Pinang (33).

Sebanyak 26 kertas siasatan dibuka di Selangor, diikuti Kedah (23), Pulau Pinang (16), Terengganu (15), Negeri Sembilan (14) dan Kelantan (9).

Sebanyak empat tangkapan direkodkan sepanjang Op PRN dan antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat dan Seksyen 435 kanun yang sama iaitu khianat dengan api.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN