Polis perketat kawalan pastikan PRN lancar

Polis perketat kawalan pastikan PRN lancar

PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memasang kain rentang ‘Sempadan Had Kawasan Mengundi’ dalam tinjauan persiapan hari mengundi bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Semenyih di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini kerana polis memastikan kesiapsiagaannya dalam mengawasi perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri berlangsung dengan aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,  pelaksanaan penugasan pada PRN di enam negeri ini bermula sejak sebelum penamaan calon, hari penamaan calon dan tempoh berkempen, hari pengundian dan selepas keputusan diumumkan.

Kata beliau, seramai 36,492 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia mengawasi perjalanan PRN dengan dibantu Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Apabila dibubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan enam negeri dalam PRN ini, kita (polis) sudah memulakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Jadi, semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi yang ingin menunaikan tanggungjawab mereka boleh lakukan tanpa rasa takut atau dihalang oleh mana-mana pihak.

“Bagi saya sebagai KPN,  timbalan saya Tan Sri Ayob Khan serta Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini, kami telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya di sini.

Razarudin berkata, tumpuan kawalan keselamatan juga diperketat di lokasi-lokasi strategik yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sekiranya berlaku peralihan kuasa di negeri-negeri terlibat.

Antara lokasi terbabit adalah Istana Negeri dan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Keselamatan di sesebuah Istana itu adalah amat penting dan kita tidak mahu berlaku apa-apa gangguan terhadap Istana pada tengah-tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

“Kita (polis) akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dan keadaan aman berdasarkan perlembagaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×