Perluas inisiatif bantu M40 dalam Belanjawan 2024

Perluas inisiatif bantu M40 dalam Belanjawan 2024

PERBELANJAAN domestik oleh golongan M40 turut membantu ekonomi negara bertahan dalam suasana ekonomi dunia yang perlahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih banyak inisiatif dan bantuan untuk golongan M40 perlu diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 supaya golongan itu tidak berasa terpinggir.

Dalam Belanjawan 2023, kira-kira 23 inisiatif diperkenalkan untuk kumpulan B40, namun hanya empat inisiatif dinikmati golongan M40.

Antaranya, pengurangan cukai pendapatan individu sehingga 2 mata peratusan melibatkan setiap banjaran pendapatan melebihi RM35,000 hingga RM100,000, sekali gus memanfaatkan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan, kerajaan bukan sahaja perlu menumpukan kepada beban kewangan yang ditanggung oleh kumpulan B40 tetapi juga M40.

Katanya, jika hasil negara le­bih tinggi, pertumbuhan eksport dan juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap memberangsangkan, sumber pendapatan itu boleh diterjemahkan kepada inisiatif untuk M40.

“Sektor utama seperti pendidikan dan kesihatan harus diberikan perhatian utama. Selain itu isu menangani kos sara hidup yang tinggi harus juga diberi perhatian yang lebih serius dalam bajet kali ini melalui intervensi dan inisiatif yang berimpak tinggi.

“Namun, pembangunan infrastruktur seperti jalinan internet, memperkasa pengangkutan awam, tidak harus dilupakan asalkan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” kata­nya ketika dihubungi.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kumpulan yang berpendapatan sederhana atau M40.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menyifatkan, jika inisiatif diperkenalkan kepada golo­ngan M40, ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara lebih baik kerana kuasa membeli mereka yang lebih tinggi.

“Ekonomi negara berkembang melalui perbelanjaan persendirian atau isi rumah M40 dalam dua tahun kebelakangan ini, sekaligus melon­jakkan ekonomi negara. Malaysia berkembang pesat kerana perbelanjaan isi rumah M40,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN