Penunggang maut dirempuh pemandu Proton Saga langgar lampu isyarat - Utusan Malaysia

Penunggang maut dirempuh pemandu Proton Saga langgar lampu isyarat

SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta Proton Saga yang melanggar lampu isyarat di Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang pemandu Proton Saga yang melanggar lampu isyarat di persimpangan Jalan Nibong 17, Jalan Daya, Taman Daya di sini tengah malam tadi  mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan itu berlaku pada pukul 12.05, tengah malam.

Akibatnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki  berusia dalam lingkungan 20-an maut di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta Proton Saga yang terlibat sedang dikesan kerana selepas kejadian itu dia bertindak melarikan diri.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC seorang diri berada di lorong kiri dari arah Econsave, Taman Daya menghala ke Setia Indah.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga tersebut dipercayai telah melanggar lampu isyarat warna merah sebelum merempuh motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas Jalan Nibong 17 dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya. 

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang hadir ke lokasi.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. Mereka boleh berbuat demikian di Balai Polis Trafik IPD JBS atau menghubungi  Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Zulpaka Bambo menerusi talian 014-8861791,” katanya sambil memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN