Penjenayah guna sistem hawala ‘cuci’ duit haram

Penjenayah guna sistem hawala ‘cuci’ duit haram

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket pe­ngubahan wang haram dikesan berselindung di sebalik perniagaan tunai seperti kedai dobi dan restoran untuk merahsiakan­nya daripada pihak berkuasa.

Kaedah penipuan yang dikenali sebagai hawala itu digunakan untuk ‘mencuci’ wang daripada aktiviti tersebut tanpa meninggalkan jejak.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui kaedah tersebut hasil kegiatan haram itu tidak akan melalui sistem perbankan atau syarikat kewangan yang mana status transaksi tidak akan meninggalkan rekod.

“Hubungan sindiket melibatkan kedua-dua negara berlandaskan kepada kewajipan melunaskan pembayaran yang dihantar dari negara tempat pembekal beroperasi kepada penerima di negara lain.

“Jadi, wang untuk pembayaran terbabit tidak pernah keluar dari negara masing-masing, hanya berpindah tangan dalam negara terbabit,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru melaporkan, polis bertindak membekukan RM3.95 bilion pelbagai aset seperti akaun bank, kenderaan dan hartanah dipercayai diperoleh hasil aktiviti haram dalam tempoh empat tahun sejak 2019 sehingga Jun lalu.

Daripada jumlah itu, RM1.5 billion aset-aset berkenaan dibekukan manakala RM2.44 billion lagi disita.

Kesemua pembekuan aset-aset berkenaan merupakan 739 kes membabitkan pengubahan wang haram yang disiasat PDRM seperti penipuan, jenayah, termasuk siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam tempoh sama juga, sebanyak 70 individu terdiri 50 lelaki dan 20 wanita telah ditahan dan diambil tindakan di bawah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang mana sebanyak 49 kes berjaya dituduh.

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak RM318,956,403 unit saham disita dan dibekukan.

Mengambil contoh, kata Ramli, yang paling mudah sekali untuk difahami secara keseluruhan ialah dengan menggunakan perniagaan berasaskan tunai seperti kedai dobi, restoran dan kedai minuman.

“Setiap hari wang haram akan dimasukkan ke dalam akaun restoran sebagai hasil jualan walaupun restoran tak laku dan tiada jualan. Cara ini mudah kerana segala transaksi restoran biasanya dilakukan dalam bentuk tunai dan tidak memerlukan resit,” jelasnya.

Kata beliau, perniagaan seumpama ini akan didaftarkan dan keuntungan dari perniagaan bercampur dengan wang haram akan diisytihar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai keuntungan perniagaan yang telah dikenakan cukai.

“Wang yang diperoleh daripada sumber haram kini telah diisytiharkan sebagai keuntungan perniagaan dan boleh digunakan untuk pembelian rumah dan kereta melalui pembiayaan bank,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai cara dilakukan penjenayah dan sindiket untuk mencuci duit haram asalkan matlamat mereka untuk memasukkan wang haram ke dalam sistem kewangan, termasuk mata wang kripto dan juga urus niaga kewangan ren­tas sempadan tercapai.

Jelas beliau, terdapat tiga proses bagi suspek untuk mengubah wang haram menjadi ‘halal’ iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi.

“Bagi tahap pertama iaitu penempatan, wang yang diperoleh daripada hasil aktiviti ha­ram akan dilaburkan menerusi sistem kewangan yang sah. Di sini, penjenayah akan membahagikan wang tunai kepada jumlah yang kecil untuk dimasukkan ke akaun beberapa bank serta di lokasi berlainanl,” jelasnya.

Kata beliau, peringkat kedua pelapisan, iaitu proses pusingan pelbagai tingkat termasuk memisahkan wang diperoleh daripada sumber asalnya.

“Pada peringkat ini penjenayah akan mengeluarkan wang simpanan mereka secara berulang kali melalui pelbagai bank yang berbeza termasuk di luar negara menggunakan syarikat palsu tanpa aset atau operasi.

“Syarikat ini hanya membuat transaksi palsu seolah-olah perniagaan biasa untuk membenarkan aliran masuk tunai dan dana yang diterima boleh dikitar menerusi beberapa syarikat sebagai wang halal,” ujarnya.

Ramli berkata, peringkat akhir pula dikenali sebagai integrasi di mana ia melengkapkan proses pengubahan wang haram.

Jelas beliau, dana haram ini akan dibawa masuk ke dalam sistem kewangan dan ekonomi seolah-olah ia dari sumber yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN