GABUNGAN dua gergasi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) didakwa mempunyai peluang tipis untuk menguasai kawasan utara Selangor.
Malah, terdapat pihak mengatakan kawasan tersebut yang mewakili 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir hitam keseluruhannya.
Kawasan tersebut adalah Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Sekinchan, Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Sungai Burong, Permatang, Bukit Malawati, Ijok dan Jeram.
Berdasarkan komposisi kaum, hampir keseluruhan kawasan berkenaan mempunyai pengundi Melayu antara 46 hingga 84 peratus dan paling rendah adalah Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor.
Sementara Sekinchan menjadi satu-satunya kerusi mempunyai majoriti pengundi Cina iaitu sekitar 51.6 peratus berbanding Melayu 43 peratus.
Justeru, menjelang hari mengundi esok, bayangan awal kedudukan PH-BN dan Perikatan Nasional (PN) terhadap penguasaan kawasan mereka di Selangor utara sudah diramal.
Ini kerana terdapat jangkaan akhir dibuat pelbagai pihak termasuk parti politik di situ yang mendakwa parti kerajaan hanya mampu menguasai empat daripada 12 kerusi iaitu Sekinchan, Bukit Malawati, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali.
Sementara parti lawan diramalkan menang di Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong, Permatang, Ijok dan Jeram.
Di kawasan kubu kuat BN seperti di Sungai Panjang dilihat bertentangan dengan jangkaan sebelum ini bahawa kerusi tersebut akan dimenangi calon parti itu, Datuk Mohd. Imran Tamrin.
Bagaimanapun, selepas melihat kepada jumlah pengundi putih UMNO dan kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN perlu memastikan tambahan sekurang-kurangnya 7,000 pengundi untuk menang di Sungai Panjang.
Terdahulu, akhbar ini turut menjangkakan 10 kawasan di Selangor dikenal pasti sebagai kawasan hitam antaranya Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Burong dan Jeram.
Sementara kawasan lain seperti Sekinchan, Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Permatang, Bukit Malawati dan Ijok dilabelkan sebagai kelabu.
Dalam pada itu, antara perkara dikenal pasti menjadi penyumbang kepada faktor tersebut adalah tawaran dalam manifesto antara kedua-dua parti itu apabila PN dikatakan mempunyai kelebihan berbanding PH-BN.
Dalam tawaran PN, inisiatif seperti bantuan bulanan RM400 untuk pembelian barangan asas, tunai RM700 kepada pekerja p-hailing dan RM500 kepada pasangan baru berkahwin, kelahiran anak dan kehilangan suami adalah antara yang menarik perhatian pengundi.
Sementara dalam tawaran PH-BN, mereka menawarkan latihan kemahiran bersama syarikat antarabangsa seperti Apple, Siemens, Festo dan Dassault Systemes, laluan rel di Klang – Sabak Bernam dan bantuan RM200 hingga RM1,500 kepada mahasiswa dan anak muda.
Selain itu, naratif bagi kedua-dua parti pula dilihat saling berbalas dan menjawab tuduhan antaranya ucapan Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di masjid, isu Sungai Klang Maritimes Gateway (SMG) serta mendedahkan kelemahan masing-masing apabila sebahagian calon PN juga pernah berada dalam kerajaan negeri sebelum ini. – UTUSAN











