Mukadimah
STATUSNYA sebagai anak kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat menjadi laluan mudah untuk Muhammad Khalil berjaya dalam bidang politik. Setelah memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI diberi kepercayaan untuk terus mempertahan kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Wartawan Utusan Malaysia, KAMALIZA KAMARUDDIN berpeluang menyelami hasrat dan impian yang ingin dilaksanakan Muhammad Khalil sekiranya berjaya menang di DUN tersebut pada 12 Ogos ini.

Utusan: Apa cabaran dalam politik kerana status anda sebagai anak kepada Presiden parti?
Khalil: Dalam perjuangan, tak kira tali persaudaraan kerana ia petunjuk daripada Allah SWT. Sejarah Nabi Nuh sebagai contoh, anaknya sendiri tetap menentang ajaran baginda.
Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana ayahanda Tuan Guru telah mendidik saya sejak kecil bukan sahaja dengan ilmu agama bahkan dengan perjuangan hingga saya faham dan mendapati bahawa Pas adalah wadah terbaik perjuangan Islam di Malaysia.
Tentulah ada cabaran dalam politik tanpa mengira siapa mereka, namun apabila kita bekerja secara berjemaah, semuanya pasti dapat dihadapi secara bersama.
Apa yang telah dilakukan sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk pada 2018?
Jawatan adalah satu amanah bukan kebanggaan. Saya bersyukur kerana dibantu rakan seperti pusat khidmat DUN, pusat khidmat Pas dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) secara berjemaah dalam melaksanakan kerja dan tugas.
Bila saya ambil tugas tersebut (menjadi ADUN pada 2018) yang utama semua penduduk Batu Buruk adalah rakyat Terengganu tanpa kira parti politik mereka. Kita jaga semua aspek kebajikan dan jadi perantara antara mereka dan kerajaan negeri.
Kita laksana manifesto yang dijanjikan Pas dalam tempoh sepenggal lalu dan dalam masa yang sama saya juga ada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sendiri.
Semasa turun ke lapangan bersama JPKK, saya meneliti permasalahan di tempat masing-masing dan saya cuba selesaikannya dengan kerjasama jemaah dan berjaya capai KPI yang saya tetapkan.
Tak perlu saya nyatakan satu persatu di sini. Rakyat boleh lihat di Facebook dan TikTok saya untuk perinciannya.
Majoriti pada PRU14 ialah sebanyak 5,288 undi, adakah yakin terdapat pertambahan dengan situasi politik ketika ini?
Saya percaya mood rakyat akan dapat kekalkan Pas di DUN Batu Buruk dan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.
Namun, saya tidak pandang ringan calon lawan atau ‘over confident’. Penting untuk kita terus kerja, santuni rakyat agar mereka berikan undi pada 12 Ogos nanti.
Lawan anda juga orang muda, kenapa perlu mengekalkan Pas di Batu Buruk?
Perjuangan Pas adalah membawa agenda Islam yang menyeluruh.
Pas dan Perikatan Nasional (PN) khususnya adalah satu pakatan yang bersih dan boleh membawa kestabilan di negara kita.
Ini kerana PN didukung majoriti pemimpin Melayu dan Islam. Dalam demografi negara kita, ia bagus kerana majoriti rakyat juga adalah Melayu Islam.
Apa perancangan yang ingin dilaksanakan di DUN Batu Buruk selepas ini?
Saya tidak suka beri janji seperti pihak belah sana yang suka memberi janji tapi akhirnya janji kosong semata-mata.
Insya-Allah dengan rekod yang baik pentadbiran Pas sepenggal lalu dan dengan kejayaan Pas menunaikan semua manifesto pada PRU14 lalu, rakyat boleh membuat penilaian.
Paling penting kita berusaha untuk menunaikan semua manifesto yang ditawarkan Pas kali ini untuk pengundi DUN Batu Buruk selepas PRN nanti. – UTUSAN










