SEREMBAN: Pertuduhan pertama di mahkamah bagi kesalahan menghendap yang dapat dilaksanakan hari ini wajar dijadikan amaran kepada mana-mana individu lain agar tidak sewenang-wenangnya melakukan amalan yang cenderung ke arah aktiviti itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau mengakui lega dengan pertuduhan tersebut apatah lagi perkara itu sudah lama diperjuangkan.
Kata beliau, kebanyakkan mangsa bagi kesalahan menghendap itu melibatkan golongan wanita dan kejayaan pertuduhan kali pertama itu dapat memberi galakan kepada mangsa termasuk golongan lelaki untuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan seterusnya diambil tindakan.
“Kami berasa lega kerana akhirnya undang-undang anti menghendap dapat dikuatkuasakan. Walaupun sudah diluluskan (sebelum ini), tetapi belum sempurna sebab itu tindakan belum diambil.
“Kes pertama dikemukakan di mahkamah boleh dilihat sebagai pembuka mata kerana mereka yang mempunyai amalan mirip mengintip (menghendap) tidak dapat melakukan kerana sudah ada undang-undang,” katanya kepada pemberita sempena Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di sini hari ini.
Dewan Rakyat pada bulan Mac lalu meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.
Pindaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap, termasuk perbuatan yang dianggap sebagai kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman iaitu penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hari ini, seorang lelaki berusia 37 tahun yang didakwa mengganggu seorang jurugambar wanita dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam menjadikan dia sebagai individu pertama dituduh dibawah kesalahan menghendap.
Sementara itu, Nancy sewaktu berucap dalam majlis tersebut, isu gangguan seksual bukanlah sesuatu yang baharu dan wujud keperluan untuk sentiasa menambahbaik undang-undang semasa agar sesuai dengan peredaran masa.
Malah menurutnya, walaupun masalah berkenaan bukan perkara yang mudah untuk ditangani, adalah sangat penting dan mustahak untuk menguar-uarkan dan meneruskan perbincangan isu gangguan seksual serta isu jenayah intip dan hendap atau ‘stalking’.
“Menurut statistik yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat dari 378 kes pada 2020 dan seterusnya meningkat kepada 506 kes pada 2021.
“Bagi Negeri Sembilan sendiri, pada tahun 2022, terdapat 19 kes gangguan seksual di mana 16 kes atau 84 peratus adalah melibatkan gangguan seksual terhadap kaum wanita di mana tiga adalah pemandiri lelaki,” katanya lagi.-UTUSAN.










