KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) bagi parti itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan tersebut.
Hakim Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan itu kabur dan cacat meskipun ia menyatakan masa, tempat kesalahan dan pihak-pihak yang memberikan suapan tersebut.
“Pihak pendakwaan gagal mengkhususkan bagaimana kesalahan salah guna kuasa dilakukan Muhyiddin. Pemohon tidak seharusnya dibiarkan membuat spekulasi bagaimana beliau salah guna kedudukan ketika menjadi Perdana Menteri.
“Ini mengakibatkan beliau tidak berupaya memberikan arahan wajar kepada peguam untuk menyediakan pembelaan atau menghantar representasi bagi pertimbangan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula,” kata Hakim
Muhammad Jamil ketika membaca penghakiman ringkasnya di dalam mahkamah yang penuh dengan penyokong bekas Perdana Menteri itu.
Oleh itu, kata beliau, Muhyiddin tidak boleh dipaksa untuk melalui prosiding jenayah dengan mengabaikan kehendak Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) kerana jika pertuduhan diteruskan perkara itu menyalahguna proses mahkamah.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Jabatan Peguam Negara pada hari sama memfailkan rayuan terhadap pembebasan Muhyiddin.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan mahkamah tersebut hanya melibatkan pertuduhan menggunakan kedudukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tidak melibatkan tiga lagi pertuduhan di bawah kesalahan pengubahan wang haram.
Menurut Idrus, ketiga-tiga pertuduhan itu melibatkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
BERDEPAN
“Muhyiddin masih berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
“Kes itu masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 19 September ini,” kata Idrus.
Pada prosiding semalam, pasukan pembelaan diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengetuai pasukan pendakwaan.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 76, didakwa atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan berhubung suapan RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd., daripada syarikat Nepturis Sdn. Bhd., daripada syarikat Mamfor. Sdn. Bhd. dan daripada Datuk Azman Yusoff.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) akta itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan. – UTUSAN










