PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan tidak akan meletakkan calon dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) melibatkan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Biro Politik Muda berkata, keputusan tersebut dibuat atas dasar penghormatan kepada penyandang dua kerusi tersebut sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Keputusan ini dibuat atas dasar penghormatan kepada Allahyarham Salahuddin sebagai individu yang banyak berjasa kepada rakan, juga kepada negara tercinta.
“Muda mengucapkan selamat maju jaya kepada yang bertanding, khususnya dari Parti Amanah Negara (Amanah). Semoga legasi Allahyarham dapat diteruskan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian Timbalan Presiden Amanah tersebut 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat bakal diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pulai manakala Pakatan Harapan (PH) menaruhkan Nazri Abdul Rahman sebagai calon di DUN Simpang Jeram. – UTUSAN










