KERUSI N36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober depan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai wakil rakyat di situ selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Allahyarham Johari berdepan saingan empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.
Berdasarkan keputusan PRU15, BN dan PN masing-masing memperoleh 17 kerusi DUN manakala PH lapan kerusi. Keputusan itu menyaksikan BN-PH bergabung bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang.
Walaupun keputusan PRK DUN Pelangai kelak tidak mengubah kerajaan negeri yang sudah dibentuk diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kemenangan di kerusi itu dilihat penting kepada BN bagi mengekalkan kemenangan 17 kerusi pada PRU15.
HANTARAN
Pada 22 Ogos lalu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jaabar memuat naik hantaran di Facebooknya menyatakan bahawa, ‘insya-Allah PN Pahang memburu kerusi ke-18’.
Kenyataan itu memperlihatkan bahawa kemenangan pada PRK DUN Pelangai bukan sahaja penting buat BN malah PN bagi membolehkan gabungan tersebut menang kerusi terbanyak biarpun tidak dapat membentuk kerajaan negeri.
Selaku ketua kerajaan BN-PH di Pahang, Wan Rosdy atau mesra dipanggil Tok Wan dalam kalangan rakyat di negeri itu tentunya berdepan tugas cukup penting bagi mengekalkan kemenangan yang diperoleh Allahyarham Johari.
Tambahan, Tok Wan yang juga Naib Presiden UMNO tentunya mahu UMNO dan BN memperoleh kemenangan dengan peningkatan majoriti di kerusi tradisi parti itu sejak era Tan Sri Adnan Yaakob.
Selepas DUN Tioman pada 7 Disember 2022, Pelangai menjadi medan kedua bagi menguji kerjasama BN-PH di Pahang serta menilai sama ada pengundi boleh menerima gabungan sedemikian atau sebaliknya.
Rakyat juga tentunya menilai prestasi Tok Wan sejak beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 28 November 2022. Aura Tok Wan berjaya membantu BN pada pilihan raya DUN Tioman, kini PRK DUN Pelangai pula bakal membuka gelanggangnya.
Apakah ‘gelombang hijau’ yang berlaku khususnya di dua lagi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu serta Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, akan menembusi Pahang khususnya di Pelangai? Jawapannya terjawab dalam tempoh 45 hari lagi. – UTUSAN










