MCA komited jayakan semangat BN, terus sokong Kerajaan

MCA komited jayakan semangat BN, terus sokong Kerajaan Perpaduan

WEE Ka Siong (tengah) menghadiri Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor 2023 yang diadakan di Taman Desamas, Kulai, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: MCA kekal komited bersama Barisan Nasional (BN) sekali gus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ahlinya tidak berada dalam Kabinet kerajaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, hal itu kerana parti berkenaan mendokong semangat muhibah dan kepelbagaian di dalam sesuatu masyarakat seperti yang diwujudkan dalam kerajaan hari ini.

Menurut beliau, semangat tersebut perlu ada dalam diri setiap penyokong BN khususnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, ketika ini.

“MCA ada falsafah sendiri, tidak kira sekiranya kawan kita (UMNO) ada sahabat lain (Pakatan Harapan), tidak mengapa, sebaliknya hubungan itu perlu dibuktikan melalui tempoh masa. Kita (BN) sudah lama, sudah 70 tahun bersama, jadi, saya yakin ada nilai baik antara kita dan bukan bersandarkan kepada kepentingan jangka masa pendek sahaja.

“Dahulu, ada ketikanya rakan parti komponen BN susah, kita bantu mereka untuk kuat semula, jadi, sekarang juga kita rasa terpanggil untuk membantu kerana kita menghayati semangat kekeluargaan, saya rasa ini semangat BN yang tulen dan sejati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor 2023 yang diadakan di Taman Desamas, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon; Ketua Wanita MCA, Wong You Fong; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker serta barisan kepimpinan MCA negeri.

Ka Siong yang juga merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bagaimanapun memberitahu, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini bukan bermakna mereka perlu berdiam diri, sebaliknya akan terus bersuara dengan memberi kritikan membina.

“MCA sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan tetapi kita tidak duduk dalam kabinet, kita bukan pembangkang sebaliknya adalah antara parti yang mendokong.

“Kita masih boleh beri pandangan setuju atau tidak berhubung perkara dasar, masih bebas bersuara untuk beri kritikan membina dan idea dalam membuat pembaharuan, itu perkara biasa dalam demokrasi, bukan kerana kita tidak sokong,” jelasnya.

Menurut Ka Siong, perkara itu terbukti apabila dalam PRN enam negeri ketika ini, jentera parti itu tetap turun berkempen membantu bagi memenangkan calon BN yang merupakan calon Kerajaan Perpaduan.

“Saya sendiri turut bantu kempen Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), ini satu lagi bukti taat setia kita kepada BN sehingga kini,” jelasnya lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN