Masalah mekanikal punca nahas?

Masalah mekanikal punca nahas?

BANGKAI pesawat dan serpihannya dikumpulkan dan ditutup oleh pihak berkuasa untuk tujuan siasatan lanjut dan juga bagi mengelak kawasan itu dicerobohi oleh orang awam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah mekanikal mungkin menjadi antara faktor pesawat Beechcraft 390 terkeluar dari laluan sepatutnya dan berpusing sebelum menjunam di Persiaran Elmina dekat Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), kelmarin.

Masalah mekanikal itu termasuk kehilangan kuasa enjin, kegagalan fungsi gear pendaratan, hilang kawalan penerbangan serta kegagalan sistem atau komponen bukan enjin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar penerbangan, Kap­ten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff berkata, pergerakan akhir pesawat yang dilaporkan berpusing ke kanan itu bukan sesuatu yang disengajakan.

SPEKULASI

“Banyak faktor masalah kawalan yang boleh buat spekulasi. Pertamanya, mestilah mungkin faktor mekanikal apabila bahagian kawal pergerakan ada masalah.

“Sekalipun penyelenggaraan dilakukan dengan baik, mungkin ada kegagalan pada bahagian-bahagian kritikal kawalan pe­nerbangan yang berlaku selepas penyelenggaraan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, Shah Alam digemparkan dengan nahas sebuah jet eksekutif yang terhem­pas berhampiran susur masuk GCE dari arah Denai Alam.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi pada pukul 2.40 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.

Kejadian tersebut mengorbankan 10 individu antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Abdul Rahmat Omar bagaima­napun menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap punca kemalangan itu.

Katanya, kehilangan daya tujahan pada salah satu enjin juga boleh menjadi antara faktor yang menyebabkan masalah kawalan pada pesawat.

GRAVITI

“Selain itu, kita tidak tahu apa barangan dibawa tetapi kalau ada perubahan kedudukan barang, misalnya barang mungkin lari jika tidak diikat dengan betul, maka pusat graviti (pesawat) boleh berubah.

“Akhir sekali adalah faktor manusia yang mungkin buat kesilapan pada masa kejadian. Cuaca tidak mungkin sebab cuaca baik ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, faktor sebenarnya yang menyebabkan nahas hanya boleh dikesan menerusi kotak hitam pesawat dan perakam suara kokpit yang ditemui.

“Selagi kita tidak dapat kotak hitam dan CAAM tidak mengamati setiap bahagian pesawat itu , maka sukar buat kesimpulan.

“Sekarang ini kena buat siasatan di tempat kejadian, ukur di mana bahagian pesawat ditemui dan apabila sudah siap semua baru boleh bawa balik ke satu tempat. Di situ kena teliti satu persatu bahagian apa yang menyebabkan pesawat berkenaan bersikap tersebut,” katanya.

Sementara itu, pakar aeronautik, Dr. Aslam Abdullah berpandangan sekiranya pesawat Beechcraft 390 itu mengalami masalah pegun kelajuan rendah sebelum nahas, maka puncanya perlu dicari berdasarkan data-data yang diperoleh untuk dianalisa.

Beliau berkata, apabila kea­daan itu berlaku, juruterbang atau sistem autojuruterbang akan menolak turus kawal ke hadapan bagi merendahkan muncung pesawat yang bertujuan meningkatkan kelajuan.

Kata Ketua Kumpulan Fokus Penyelidikan Aerodinamik dan Pendorongan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu, apabila kelajuan mencukupi dicapai, juruterbang berpeluang menarik semula turus kawal ke belakang atau menaikkan muncung pesawat supaya daya angkat yang hilang tadi dapat ditebus semula.

Bagaimanapun, kata beliau, tindakan itu boleh mengundang bahaya jika pesawat sudah pun berada pada altitud terlalu rendah dan juruterbang sudah tidak sempat menaikkan semula muncung pesawat.

“Lebih parah lagi, jika enjin kehilangan kuasa sebelum atau semasa fenomena pegun kerana pada saat sasaran kelajuan dicapai, pesawat mungkin sudah mengalami junaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×