Kerajaan naikkan subsidi padi tertinggi - Utusan Malaysia

Kerajaan naikkan subsidi padi tertinggi

Anwar Ibrahim tiba pada program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai, Parit Buntar semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Perjuangan pesawah untuk menikmati subsidi padi yang le­bih tinggi sejak 25 tahun lalu membuahkan hasil apabila kerajaan me­ngumumkan kenaikan daripada RM360 kepada RM500 bagi satu tan metrik berkuat kuasa hari ini.

Kenaikan RM140 bagi setiap tan metrik itu adalah yang paling tinggi dalam tempoh tersebut sekali gus menyuntik semangat kepada petani ­untuk terus mengusahakan sawah ­dan mengekalkan keterjaminan bekalan ­beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan metrik tuaian padi mereka selepas ini.

Katanya, kenaikan SSHP melibatkan implikasi tambahan kewangan negara sekitar RM1 bilion setahun.

“Saya telah arahkan supaya langkah ini dilaksanakan segera dan berkuat kuasa pada hari esok (hari ini). Subsidi ini untuk membantu pesawah.

IMPLIKASI

“Kenaikan kadar SSHP bakal melibatkan implikasi kewa­ngan tambahan mencecah RM1 bilion setahun,” kata beliau ketika berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Chan Foong Hin serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Perdana Menteri berkata, ini kenaikan terbesar SSHP sejak beliau menjadi Menteri Kewangan kira-kira 25 tahun lalu.

“Pelaksanaan ini kita tak mahu tunggu lama, pelaksa­naannya kita umum hari ini, esok (hari ini) naik.
“Namun pesawah kena ingat, kita (negara) banyak hutang iaitu RM1.5 trilion tetapi saya cari juga, berapa peruntukannya? Ia mencecah RM1 bilion peruntukan tambahan untuk pesawah setahun,” katanya.

Keluasan jelapang padi negara dianggarkan 204,578 hektar di Kedah, Kelantan, Selangor, Perak, Terengganu dan beberapa negeri lain.

Kedah mempunyai bila­ngan pesawah paling ramai iaitu 31,820 orang diikuti Kelantan (30,610 orang), Perak (18,780 orang), Perlis (17,930 orang) dan Sela­ngor (17,580 orang).

SUBSIDI

Susulan pengumuman itu, di Kangar, pesawah, Nordin Salleh, 66, berkata, kenaikan subsidi adalah rezeki kepada pesawah selepas puluhan tahun memperjuangkan dan menunggu kenaikan itu.

Nordin yang mengusahakan padi di sawah seluas 18 hektar di Batu Pahat, Bintong berkata, apabila harga padi meningkat secara tidak langsung memberi semangat kepada pesawah serta membantu menambah pendapatan mereka.

“Perjuangan lama untuk melihat kenaikan harga padi ini. Seingat saya sudah puluhan tahun tidak naik. Kalau subsidi-subsidi lain itu adalah. Sepanjang 33 tahun mengusahakan tanaman padi, kenaikan ini paling tinggi,” katanya.

Sukardi Matt Dali,57, berkata, khabar gembira ini sudah terlalu lama ditunggu dan dengan kenaikan diumumkan tersebut menyuntik semangat untuk pesawah meningkatkan tanaman padi.

“Kita tolak soal politik meskipun ada yang akan kata ia sebagai gula-gula pilihan raya namun yang lebih mustahak kepentingan untuk petani.

“Sudah lama minta kenaikan harga padi ini yang akhirnya ditunaikan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pengumuman Perdana Menteri itu menggembirakan pesawah kerana selepas puluhan tahun menunggu kenaikan subsidi diberikan sehingga RM140 bagi setiap tan metrik.

“Khabar gembira buat para pesawah dan memberi gambaran bahawa pesawah tidak dilupakan kerajaan” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN