Jadikan kampung tradisional lapangan ujian makmal - Khaled - Utusan Malaysia

Jadikan kampung tradisional lapangan ujian makmal – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN melepaskan benih ketam nipah di Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Universiti perlu mengubah pendekatan termasuk dengan menjadikan kampung tradisional sebagai lapangan ujian makmal mereka dalam membantu masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha dilakukan universiti harus bermatlamat mentransformasikan masyarakat di kampung berkenaan seperti yang dilakukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang penternakan ikan bagi membantu dalam menghasilkan produk-produk hiliran daripada hasil tangkapan mereka.

“Atas sebab itulah saya beritahu universiti supaya pendekatan kita perlu berubah, kita boleh jadikan seperti di Kampung Sedili ini sebagai satu lapangan ujian makmal bagi universiti. Maknanya universiti bermatlamat untuk melakukan transformasi kepada komuniti nelayan yang terdapat di Kampung Sedili Kecil ini menerusi pelbagai usaha. 

“Jadi, hari ini kita bukan hanya setakat melepaskan ketam tetapi maknanya dia ambil kampung ini sebagai satu kampung untuk menjadi makmalnya mentransformasikan masyarakat nelayan,” katanya selepas menghadiri Program Mesra Rakyat & Pelepasan Benih Ketam Nipah Kepada Komuniti Sedili Kecil di Legaran Nelayan Sedili Kecil, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, tanggungjawab sosial universiti bukan hanya berkisar tentang hubungan universiti dan masyarakat, malah program yang benar-benar mempunyai matlamat jangka pendek dan jangka panjang serta boleh membawa perubahan kepada masyarakat, bukan sekadar ‘touch and go’.

Beliau berkata, objektif utamanya adalah mahu masyarakat nelayan boleh membawa pulangan yang lebih baik dan menerusi usaha pemantapan itu golongan berkenaan juga boleh membantu dalam memberi jaminan terhadap bekalan makanan yang sedang dilakukan kerajaan. 

“Insya-Allah kalau ini dibuktikan berjaya, maka ia boleh dijadikan contoh bukan sahaja oleh UMT, malah universiti lain dan bukan sahaja untuk kampung ini tetapi untuk kampung lain dalam pelbagai bidang.

“Yang penting dalam menjayakan ini memerlukan kerjasama daripada masyarakat, iaitu bersedia mengambil peluang dan manfaat yang disediakan oleh universiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya