KOTA BHARU: Emosi dua beradik, anak kepada pasangan suami isteri yang maut dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu berhampiran Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini semakin stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, nenek kepada kanak-kanak berkenaan, Amnah Ismail, 64, berkata, kedua-dua cucunya itu sudah dapat menerima kehilangan ibu bapa mereka itu.
Menurutnya, Nik Adam Zarif Nik Mohd. Zulmi, 9, dan kakaknya Nik Adelia Zulaikha, 11, juga telah dibawa menziarahi pusara ibu bapa mereka pagi semalam.
“Alhamdulillah, Nik Adam dan kakaknya sudah mula ceria apabila menerima kunjungan daripada guru dan rakan-rakan yang hadir ke rumah memberi kata-kata semangat.
“Selain itu, anak saya akan membawa Nik Adelia Zulaikha ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan selepas dia mengadu sakit kepala,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Amnah memberitahu, buat masa ini, dia akan memantau rapi emosi kedua-dua cucunya itu bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan stabil dan sihat.
Katanya, malam kelmarin kedua-dua beradik itu sudah dapat tidur dengan lena tanpa memanggil-manggil nama ibu bapa mereka.
“Saya akan jaga mereka berdua sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amnah berkata, dia masih belum memikirkan soal sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) berkait insiden berkenaan.
Katanya, dia menyerahkan perkara itu anak-anak yang lain dan setakat ini tiada sebarang perbincangan dilakukan. – UTUSAN










