MERSING: Dua cedera parah manakala lapan cedera ringan apabila lantai bot penumpang dinaiki meletup.dan pecah akibat hempasan ombak ketika berada di perairan Pulau Tinggi, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 9 pagi melibatkan bot persiaran.
Kesemua penumpang terdiri daripada enam wanita, empat lelaki termasuk dua kru bot yang merupakan warga tempatan berusia 28 hingga 48 tahun.
Seorang wanita berusia 34 tahun mengalami cedera parah di kaki dan seorang lelaki berumur 29 tahun cedera parah pada bahagian pinggang, manakala mangsa lain turut mengalami cedera ringan di kaki atau tangan.
“Ketika kejadian ombak agak kuat. Lantai bot meletup dan pecah dipercayai akibat dipukul air. Ekoran itu, kesemua mereka terpelanting di dalam bot dan cedera.
“Kesemua mangsa diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin sebelum dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan. Kes disiasat oleh Jabatan Laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa yang mengalami cedera parah ialah Ziela Md. Lazaam, 34, dan Azrul Azhar Yaman, 29. Turut cedera, Nur Anis Shuhaiza Abdul Shukor, 28, Mohd. Hasnizam Has, 31, Razila Affandi, 32, Norazimah Mohd. Yasa, 48, Diyana Safarudin, 30, Siti Hazerina Sheikh Abu Bakar, 46, serta nakhoda bot Mohd. Fadzli Mohamed, 27, dan kelasi bot, Muhamad Arif Ramadan Hazrani, 30.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kejadian berlaku di kedudukan 7.6 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil.
Katanya, bot ronda Perkasa 44 yang sedang melaksanakan rondaan rutin dikejarkan
ke lokasi kejadian bagi menyelamat mangsa setelah menerima maklumat dari Pusat Operasi Zon Maritim Mersing.
Kesemua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke bot Perkasa 44 serta bot awam yang berada berhampiran lokasi kejadian untuk dibawa ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.
“Seramai 10 orang mangsa letupan lantai bot berkenaan dikatakan dari Mersing untuk ke Pulau Aur. Punca sebenar letupan berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Pihak Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot awam serta seluruh agensi dan komuniti maritim yang membantu dalam menyelamatkan mangsa kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN