SHAH ALAM: DAP menyokong penuh Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun memenang kerusi paling banyak berbanding PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Naib Pengerusi DAP negeri, Ganabatirau Veraman berkata, DAP tidak menjadikan jawatan tersebut sebagai isu dan parti itu juga tidak berhasrat untuk merebut jawatan berkenaan kerana persetujuan antara komponen sudah dibuat lebih awal.
“Isu ini tak wujud langsung dan kami akan kekalkan perpaduan yang sudah dicapai sejak 2008 lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada PRN lalu, komponen PH itu memenangi kesemua 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandinginya dan hampir keseluruhan kawasan dikuasai dengan majoriti besar terutama di kawasan Petaling Jaya, Subang Jaya dan Damansara.
Berdasarkan komposisi tersebut, parti itu boleh mencadangkan wakil mereka untuk diangkat sebagai Menteri Besar, namun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menetapkan calon mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari memaklumkan, tiada calon yang menepati syarat tersebut jika DAP Selangor hendak mendapatkan jawatan Menteri Besar.
“Kena berpijak di bumi yang nyata, tak mungkin Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama) boleh dipilih kerana pertama, jarang atau belum pernah berlaku Sultan Selangor akan memilih wanita sebagai Menteri Besar.
“Kedua, biasanya untuk memegang jawatan penting, keutamaan adalah mengikut hierarki parti seperti presiden atau pengerusi di peringkat pimpinan negeri untuk dicadangkan menjadi Menteri Besar,” jelasnya. – UTUSAN










