JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menafikan kempennya diboikot segelintir pihak termasuk daripada kalangan masyarakat India.
Walau bagaimanapun, beliau maklum terdapat gesaan sedemikian yang dibuat oleh seorang aktivis berketurunan India baru-baru ini susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengislamkan seorang lelaki di sebuah masjid.
“Beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India akan mengadakan siri penerangan kepada komuniti India berhubung perkara tersebut. Jadi, saya serahkan perkara itu kepada mereka agar tidak timbul sebarang kekeliruan.
“Pada tahap minimum (boikot),” katanya ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan masyarakat India di Tampoi, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Sebelum ini, seorang aktivis India, Arun Dorasamy menggesa masyarakat India memboikot calon PH dalam PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sebagai tanda protes terhadap tindakan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut memberitahu, walaupun masyarakat India minoriti, namun undi mereka amat berharga dan sama nilainya.
“Semua undi penting, tak kira Melayu, Cina, mahupun India. Ini kerana kita bukan mahu menang dengan biasa-biasa sahaja, tetapi sebaliknya mahu menang dengan majoriti yang meyakinkan,” katanya.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi yang terdiri daripada 74,814 Melayu (44.17%), Cina 67,635 (40.48%), India 20,555 (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 September ini sebagai hari pengundian ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN










