Bersediakah UMNO bertanding atas tiket sendiri pada PRU?

Bersediakah UMNO bertanding atas tiket sendiri pada PRU?

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Azalina Othman Said menimbulkan per­soalan adakah sudah tiba masanya UMNO bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan UMNO itu turut bertanya, adakah parti itu pada masa akan datang masih lagi bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) atau di bawah BN dengan gabungan baharu?

Dalam satu hantaran akaun Facebooknya, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau membaca dengan teliti semua pandangan serta teguran dilontarkan semua pihak termasuk di luar parti selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, perkara itu adalah amalan demokrasi dalam parti di mana setiap ahli boleh memberikan pandangan, tetapi dalam konsep demokrasi juga, ada calon kalah dan ada yang menang dalam pilihan raya.

“Memang mudah untuk me­nuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah. Menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh, jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.

“Ada parti politik bermula di tangga mahkamah, dan ada yang masih di tangga mahkamah, malah bertahun bergolak dengan pihak keselamatan, namun ah­linya teguh merapatkan saf serta berterusan meletakkan ke­yakinan terhadap pemimpin mereka.

“Dan hari ini parti-parti ber­kenaan telah berjaya memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Mereka yakin ke­pimpinan parti akan bawa kejayaan,” katanya sema­lam.

Azalina berkata, memang mudah untuk mendesak Pe­ngerusi BN berundur tetapi BN adalah institusi dan kenapa segalanya diletakkan di bahu pengerusi walhal, bukan pengerusi yang bertanding pada PRN lalu.

Paling penting, katanya, da­lam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan mengambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran, maka apa yang perlu diubah bukan Presiden, tetapi cara bagaimana bekerja dan mengge­rakkan kempen.

Beliau turut mengakui UMNO-BN masih ketinggalan dalam perang saraf di pentas digital apabila pendekatan konvensio­nal bersemuka tidak lagi menjadi tunjang kempen sehingga ce­ramah fizikal tiada sambutan.

“BN sendiri perlu faham dan akur kita menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital pada ketika pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan platform itu bagi mempengaruhi pengundi.

“Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital,” katanya.

Beliau berkata, gabungan Kerajaan Perpaduan bukanlah kesa­tuan sempurna, namun ada ruang pembaikan dengan mencari titik persamaan, demi agama, bangsa dan negara.

Sudah tentu, bagi UMNO sendiri, katanya, parti itu akan terus menjadi suara dalam Kerajaan Perpaduan selari dengan perjua­ngannya, iaitu melin­dungi agama Islam sebagai agama Perseku­tuan, hak-hak bumiputera, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN