GENDANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah pun dipalu sebaik sahaja usai proses penamaan calon kelmarin.
Walaupun pilihan raya sentiasa ‘dihiasi’ dengan pelbagai isu dan keletah calon, penyokong dan parti yang bertanding, namun PRK di Pulai dan Simpang Jeram masih ‘suam’.
Bukan sahaja secara fizikalnya masih belum banyak bendera serta sepanduk yang dipasang, kempen juga baru masuk ‘gear’ satu dengan calon-calon banyak mengadakan walkabout bertemu masyarakat untuk memperkenalkan diri.
Tidak dinafikan, setiap kali pilihan raya, pelbagai isu panas akan dibangkitkan.
Namun, sempena PRK di dua kerusi di Johor, pemimpin parti, calon serta penyokong diharap dapat berkempen dengan ‘Cara Johor’.
Cara Johor agak unik kerana amat menekankan aspek kesederhanaan dalam semua aspek, khususnya dalam tutur kata dan perlakuan.
Caci maki, cerca, fitnah dan memburuk-burukkan orang lain bukan Cara Johor.
Cara Johor, ibarat bait-bait ayat dalam puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang tentang sifat Melayu Johor, antaranya, ‘kurang ajarnya tetap santun, lembutnya cukup jantan, dajalnya masih selamba, nakalnya bersulam jenaka, menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marahnya dalam tertawa, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak’.
Malah, pihak polis turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu 3R (kaum, agama, raja) semasa berkempen.
Menang atau kalah adalah adat pertandingan, menang tidak semestinya jadi arang, yang kalah tidak menjadi abu.
Hubungan dan perpaduan yang akrab sebagai Bangsa Johor yang terkenal dengan semangat kental harus dijunjung. – UTUSAN










