Belakang pintu, saya ada macam-macam perasaan - Diana Danielle

Belakang pintu, saya ada macam-macam perasaan – Diana Danielle

DIANA Danielle meninggalkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas berpisah dengan Farid Kamil, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun dilihat tenang menghadapi dugaan perkahwinan namun jauh dari pandangan awam, perasaan yang ditanggung pelakon Diana Danielle berkecamuk.

Enggan mendedahkan rasa hatinya sebenar, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson hanya memberitahu apa yang berlaku adalah sukar baginya dan bekas suaminya, Farid Kamil Zahari.

“Saya tak nak cakap pasal pera­saan sebab ia terlalu peribadi. Saya tak nak beri persepsi yang salah tetapi sebab orang kenal (perlu pendam perasaan). Belakang pintu, saya ada macam-macam perasaan.

“Ia sukar buat kami berdua. Bukan senang untuk kami buat keputusan ini. Doakan yang terbaik buat kami berdua dan juga anak-anak,” katanya ketika menjawab soalan berhubung perasaan dan riak tenang di wajahnya.

Terdahulu, Farid melafazkan lafaz cerai talak satu terhadap Diana Danielle di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari di sini.

Lafaz itu dilafazkan melalui aplikasi Google Meet selepas Farid masih tidak sihat ekoran kesan jangkitan Covid19.

Sebelum talak itu dilafazkan, Hakim Syarie, Shukran Yusof bertanya kepada Farid akan ke­sediaannya untuk membuat lafaz tersebut.

“Ya, insya-Allah, saya setuju,” katanya.

Diana ketika ditanya oleh hakim turut menyatakan ke­sediaan agar lafaz dilafazkan secara dalam talian.

Tepat pukul 3.22 petang, Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari melafazkan cerai talak satu ke atas Diana.

“Pada 3.22 petang, mahkamah mensabitkan lafaz talak defendan (Farid) jatuh satu talak rajie terhadap plaintif (Diana).

“Mahkamah mendapati telah berlaku shiqaq, pecah belah yang mana shiqaq itu tidak dapat diselesaikan dan tiada mana-mana pihak dapat buktikan siapa yang benar,” kata Hakim Shukran.

Pada prosiding sama, kedua-dua pihak turut menarik balik permohonan nusyuz yang failkan oleh pasangan itu terhadap satu sama lain.

Permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah.

Diana diwakili peguam-peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azmi Mohd. Rais manakala Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui memberitahu, prosiding seterusnya ialah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Berhubung hadanah (hak penjagaan), kita akan rekodkan pada 21 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Kita akan rekodkan juga lain-lain perintah berhubung nafkah termasuk idah dan mutaah,” kata peguam itu.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN