80 anak PATI akan dipindah dari depot tahanan - Utusan Malaysia

80 anak PATI akan dipindah dari depot tahanan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan pertama 80 anak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di depot imigresen akan dipindahkan ke penempatan baharu tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sebuah pusat penempatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan untuk kanak-kanak berkenaan.

Menurut beliau, kanak-kanak berusia bawah 18 tahun itu akan dipindahkan dalam masa terdekat dan ia satu tindakan paling tepat dari sudut perikemanusiaan oleh Kerajaan Madani.

“Biarlah ia satu permulaan yang kecil dan kali ini usaha itu dikendalikan oleh KDN dan bukannya kita tidak alu-alukan agensi lain.

“Buat masa ini, 80 kanak-kanak itu diambil dari Depot Imigresen Semenyih, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Bukit Jalil.

“Negara jiran, Thailand sejak 2019 sudah pun menga­singkan kanak-kanak bawah 18 tahun dari depot imigresen negara mereka,” kata beliau pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulan kementerian di sini semalam.

TAHANAN

Saifuddin mengimbau pengalaman ketika meninjau sebuah Depot Imigresen Semenyih sekitar Februari lalu dan mendapati seorang tahanan wanita dilihat bersama seorang bayi berusia 20 hari.

Pada masa sama beliau mengakui keadaan depot imigresen ketika ini tidak sesuai didiami kanak-kanak apatah lagi bayi yang baru lahir.

“Itulah keadaan depot yang kita ada, lantainya papan dan dindingnya pula dawai besi serta tiada tilam dan alas. Malah angin pagi pula cukup sejuk dan keadaan itu cukup menginsafkan,” katanya.

Justeru, katanya, beliau mahu Ketua Pengarah Imigresen dan penasihat undang-undang kementerian supaya melihat semula akta sedia ada termasuk meneliti konvensyen kanak-kanak bagi mengatasi isu berkenaan.

Selain itu, Saifuddin berkata, pihaknya turut mengalu-alukan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam perkara itu.

Namun, katanya, ketika ini, pusat penempatan kanak-kanak itu akan dikawal imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Dilaporkan terdapat 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

Difahamkan, daripada jumlah itu, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN