PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 petugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dari semua kontinjen termasuk bantuan sumber manusia dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diatur gerak bagi memastikan kelancaran aliran trafik di semua lebuh raya sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri esok.
Atur gerak itu akan memberi tumpuan dalam memastikan aliran trafik lancar serta terkawal bagi semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi dan kembali semula ke ibu kota nanti.
Timbalan Pengarah I JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan aliran kenderaan di semua lebuh raya.
Kata beliau, dijangka sebanyak 1.9 juta kenderaan bertambah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan pertambahan 150,000 kenderaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Penugasan JSPT akan bertumpu di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Ia membabitkan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran terutama lokasi hotspot yang berlaku kesesakan.
“Pemantauan juga termasuk susur keluar lebuh raya serta persimpangan membabitkan lampu isyarat yang akan dibuat kawalan sekiranya terkesan menyebabkan kesesakan melampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya juga berharap semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi di negeri yang dituju selamat sampai ke destinasi.
“Ingatlah supaya sentiasa bertoleransi semasa pemanduan dan mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan petugas PDRM di lapangan,” jelasnya. -UTUSAN










