PUTRAJAYA: Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya
Notis rayuan difailkan Isnin lalu melalui Tetuan Zharif Nizamuddin di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan saman berkenaan pada 23 Jun lalu.
Hakim Akhtar memutuskan demikian selepas membenarkan saman Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.
Mahkamah berpuas hati bahawa bon tersebut merupakan kontrak yang sah serta mengikat dan Zuraida menandatangani berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan, bukan dalam keadaan dures atau paksaan.
Hakim Akhtar berpendapat, bukti menunjukkan beliau menandatangani bon itu secara sukarela dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya dan beliau mahu bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket PKR.
Mahkamah selanjutnya berpuas hati, dakwaan Zuraida bahawa jumlah RM10 juta itu tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan tersebut, adalah tidak berasas dan merupakan tindakan yang difikirkan semula.
“Mahkamah memutuskan RM10 juta itu adalah jumlah munasabah kerana bon itu adalah untuk menghalang ahli terutamanya calon yang dipilih, bertindak bertentangan dengan kepentingan parti pada masa pilihan raya,” katanya.
Selain itu, beliau turut memerintahkan Zuraida yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi membayar kos RM50,000 kepada PKR.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Saifuddin Nasution selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










