KUALA LUMPUR: Para penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama dalam kalangan ahli UMNO diingatkan mengundi Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha menyokong bekas perdana menteri berkenaan.
“Kita mesti mengasingkan tentang soal perundangan dengan soal PRN ini. Malah, Datuk Seri Najib sendiri melalui anak-anak beliau menyatakan bahawa dukungan mesti diberikan kepada Kerajaan Perpaduan sekarang ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Beliau berkata, pada waktu ini, usaha-usaha membela Najib sedang dilakukan baik dari segi perundangan, malah juga dalam aspek sosial lain.
“Jadi, kalau Najib sendiri meminta bukan saja penyokong beliau tapi rakyat Malaysia keseluruhannya untuk mendukung (Kerajaan Madani), jadi, tidak ada sebab kalau ada segelintir yang masih mempunyai pemikiran bahawa usaha-usaha tidak dilakukan untuk membela beliau, bukan saja dari segi perundangan tapi juga daripada aspek sosial yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, Malaysia cuma menguasai kurang dua peratus keseluruhan pasaran halal dunia berjumlah AS$ 3 trilion (RM13.9 trilion) iaitu cuma AS$ 60 bilion (RM279.6 bilion).
“Saya (ingin) sebutkan tentang pasaran untuk domestik dan serantau adalah terlalu besar. Untuk produk halal sahaja (pun), kini ia berjumlah kira-kira AS$ 3 trilion. Ini satu peluang yang cukup besar yang harus direbut oleh usahawan kita.
“Kita cuma menyumbang kurang daripada dua peratus daripada AS$ 3 trilion, itu sebab saya kata peluang itu terlalu banyak yang harus direbut oleh para usahawan kita,” katanya.
Beliau justeru menggesa usahawan tempatan supaya tidak hanya fokus kepada produk bagi memenuhi citra dan pasaran negara saja, sebaliknya perlu lebih kreatif memenuhi keperluan pasaran halal global.
“Jangan (sekadar) terkait oleh produk mengeluarkan makanan untuk keseluruhan citarasa penduduk negara ini (sahaja), tapi untuk penduduk ASEAN serta penduduk negara-negara Islam sendiri yang mempunyai 1.8 bilion orang Islam, jadi peluang ini cukup banyak,” katanya. -UTUSAN










