Wujud 'tangan ghaib' ambil kesempatan lemahkan Felda

Wujud ‘tangan ghaib’ ambil kesempatan lemahkan Felda

Felda antara agensi strategik milik kerajaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kewujudan ‘tangan ghaib’ yang mengambil peluang kelemahan pengurusan Felda didakwa menjadi antara punca agensi itu berterusan mencipta kegagalan walaupun beberapa kali menerima suntikan modal dan bantuan kerajaan.

Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) mendakwa, pelbagai alasan boleh dibuat malah peneroka rata-ratanya tidak mengetahui secara terperinci apa yang dilaksanakan Felda dan akhirnya bebanan diletakkan di bahu peneroka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bendahari Agung KAF, Datuk Amizar Abu Adam berkata, antara isu pokok yang menyumbang kepada kegagalan Felda adalah campur tangan tidak konsisten kerajaan dan hilang kesinambungan terhadap apa yang dibuat dan bakal dilaksanakan.

Selain itu katanya, kegagalan tadbir urus menyebabkan Felda hilang arah tujuan asal iaitu kelapa sawit dan getah yang mana ia boleh dipertingkat lagi dengan produk-produk pertanian lain serta produk yang mampu mendatangkan pulangan tinggi secara konsisten kepada peneroka dan agensi.

“Malah kakitangan Felda juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan pentadbiran dan pengurusan harian tertakluk di bawah pentadbiran kakitangan Felda yang mana ia bukan sahaja boleh mendatangkan kebaikan malah keburukan kepada Felda serta seluruh warga peneroka.

“Pihak peneroka rata-ratanya sentiasa akur dengan arahan ataupun garis panduan dibuat Felda. Biarpun ada segelintir peneroka memilih tidak bersama Felda, namun ia bukan indikatornya dan hasil ladang yang semakin menurun serta kualiti pengurusan ladang yang semakin kurang baik akan menjadikan hasil yang tidak baik malah belum lagi isu-isu lain seperti perumahan generasi baharu Felda dan isu tanah lot kosong yang sedang berlegar di Felda buat masa ini.

“Maaf saya nyatakan kadang kala ada ‘tangan ghaib’ dan manusia yang mengambil peluang terhadap kelemahan pengurusan Felda menjadikan ia terjadi seperti mana ketika ini,” katanya di sini semalam.

AMIZAR ABU ADAM

Kelmarin, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi ruangan Minda Pengarang menyatakan, jika diambil kira semua bantuan, Felda sudah menerima bantuan pelbagai bentuk berjumlah tidak kurang RM24 bilion. Itu tidak termasuk RM5.5 bilion yang lesap selepas penyenaraian FGV Holding Berhad (FGV).

Beliau berpandangan Felda merupakan agensi kerajaan yang sepatutnya mempertahan 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan tetapi membazirkan hampir RM30 bilion dalam 11 tahun.

Turut dipersoalkan, sampai bila negara harus terus menanggung hutang yang besar untuk menyelamatkan Felda yang disebabkan kegagalan pengurusan.

Mohamad Azlan turut berpandangan, Felda harus berhenti terbabit dalam perniagaan dan hanya menjadi badan kawal selia kepada pembangunan kawasan yang diamanahkan dan berhenti mengheret kerajaan daripada menanggung hutang kerana ketidakcekapan sendiri.

Amizar yang juga Pengerusi KAF Wilayah Mempaga berkata, campur tangan kerajaan untuk menyelamatkan Felda dan memberikan ruang kepada agensi ini adalah perkara yang cukup baik tetapi ada beberapa perkara pokok yang perlu dilihat dan diperhalusi.

Katanya, perkara utama adalah membabitkan soal tadbir urus Felda untuk ladang dan keberhasilan ladang berbanding dengan pengusaha yang lain seperti IOI Corporation Bhd.

“Kami anak-anak Felda berharap agar satu urus tadbir dan undang-undang yang cukup baik dalam kombinasi kerajaan dan korporat yang lebih terjamin yang mana generasi anak Felda yang sudah menjangkau lebih tiga juta orang ini memang mengharapkan tindakan luar biasa untuk agensi ini dan pasaran produk agar tersusun bukan syok sendiri.

“Percayalah pahit perlu ditelan jua namun untuk mendapat manisnya perlu ada beberapa pengorbanan sama ada pihak Felda dan peneroka.

“Jangan asyik menuding jari kepada peneroka kerana peneroka sudah puluhan tahun berkhidmat. Walaupun pendapatan tak menjaminkan setiap bulan namun mempertahan Felda itu adalah asas peneroka dan generasi Felda pada hari ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Felda tidak gagal dan kekuatannya adalah peneroka serta generasinya yang merupakan nadi dan roh perjuangan agensi terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya