Tandatangan Sanusi pada surat REE

Tandatangan Sanusi pada surat REE

AZAM Baki (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama pengamal media pada program Cakna Rasuah Bersama Media peringkat Zon Timur, di Kuala Nerus, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Muhammad Sanusi dipanggil dalam siasatan itu selepas terdapat surat berkaitan perlombongan REE itu yang ditandatanganinya tular di media sosial.

“Ada surat tular di internet, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pun akan dipanggil sebab dia tandatangan surat itu,” katanya ketika ditemui pada program Cakna Rasuah Bersama Media peringkat Zon Timur di sini, semalam.

KETERANGAN

Azam memberitahu, setakat ini, seramai 12 orang saksi telah dipanggil untuk merakam kete­rangan bagi bantu siasatan kes tersebut.

Katanya, saksi-saksi tersebut melibatkan pegawai Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta yang terlibat dalam aktiviti perlombongan itu.

“Belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan, sesiapa sahaja akan dipanggil untuk bagi ketera­ngan mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

“Nak siasat bukan (secara) terjah, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan. Nak pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE,” katanya.

Beliau menambah, SPRM juga sedang mengesan beberapa saksi dari China untuk melengkap siasatan.

“Saksi dari China itu dikatakan membuat pelaburan kepada (aktiviti) perlombongan REE ini,” ujarnya.

Ditanya adakah SPRM ditekan pihak tertentu untuk mempercepatkan siasatan kes REE susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Azam menyangkal kenyataan tersebut dan menegaskaan, perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

“Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah, SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasu­ah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yag ada merit untuk siasat, kita siasat,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombo­ngan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN