Alangkah baiknya kalau LRT3 siap seperti perancangan asal - Sultan Selangor

Alangkah baiknya kalau LRT3 siap seperti perancangan asal – Sultan Selangor

Sultan Selangor LRT3
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) yang dibuka kepada awam pada 29 Jun lalu, lebih baik disiapkan mengikut perancangan asal.

Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, baginda bertitah, kemudahan pengangkutan awam itu amat penting demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 siap seperti perancangan asal kerana baginda berpandangan perkhidmatan tren itu adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.

“(Bagaimanapun) Baginda turut menguji kesabaran rakyat Selangor dan alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam siap dan boleh digunakan. Baginda juga percaya ada hikmah yang Allah S.W. T. ingin tunjukkan daripada kelewatan itu,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan sama, Sultan Selangor turut menanti pembinaan lima lagi stesen yang tertangguh sebelum ini iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik apabila dijangka bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berkenaan.

Terdahulu baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menaiki LRT Laluan Shah Alam dari Stesen Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Stesen Johan Setia, Klang.

Pada Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan menuntut pengiktirafan sebagai pihak yang bertanggungjawab merealisasikan LRT laluan tersebut yang diasaskan projek pada 2016.

Ketika itu, baginda bertitah, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kesinambungan dasar, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada lebih 13,000 orang dari peringkat tertinggi hinggalah pekerja pembinaan dan kakitangan sokongan yang menjayakan pembinaan pengangkutan awam itu.

“Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, tenaga mahir,pekerja pembinaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, kakitangan pentadbiranserta petugas sokongan, melibatkan rakyat Malaysia dan juga pekerja dari luar negara. Baginda berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas peranan setiap daripada mereka dalam mengubah perancangan bertahun-tahun menjadi sebuah sistem pengangkutan moden harian.

“Titah baginda, walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek itu adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” tambahnya.

Kata kenyataan itu lagi, Kumpulan Prasarana Berhad (Prasarana) juga diharapkan supaya memastikan kelancaran operasi LRT3 dengan berusaha meminimumkan sebarang gangguan.

“Baginda juga berpesan kepada rakyat supaya memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren itu yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN