Rogers tempelak pengkritik Bellingham

Rogers tempelak pengkritik Bellingham

ROGERS juga menyifatkan Bellingham bukan sahaja membuktikan kelasnya sebagai antara pemain terbaik kejohanan, malah menjadi nadi utama kebangkitan England yang kini hanya selangkah lagi untuk beraksi di pentas final.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Morgan Rogers menyelar pihak yang pernah mempersoalkan tempat Jude Bellingham dalam kesebelasan utama England menjelang Piala Dunia 2026, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang “mengarut” selepas bintang muda itu terus menyerlah di pentas terbesar bola sepak dunia.

Pemain tengah Aston Villa itu berkata, Bellingham bukan sahaja membuktikan kelasnya sebagai antara pemain terbaik kejohanan, malah menjadi nadi utama kebangkitan England yang kini hanya selangkah lagi untuk beraksi di pentas final.

Bellingham sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak dua gol ketika England bangkit menewaskan Norway 2-1 pada suku akhir, sekali gus mengesahkan kemaraan The Three Lions ke separuh akhir.

Dua jaringan itu turut menyaksikan pemain berusia 23 tahun berkenaan menyamai pencapaian legenda Argentina, Diego Maradona, yang menjaringkan dua gol dalam dua aksi kalah mati berturut-turut pada Piala Dunia 1986 di Mexico.

Setakat ini, Bellingham sudah mengumpul enam gol sepanjang kejohanan dan muncul antara calon utama untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Piala Dunia.

“Saya fikir dia mungkin pemain terbaik kejohanan setakat ini. Ada orang yang mengatakan dia tidak sepatutnya bermain atau tidak layak berada dalam pasukan ini, tetapi bagi saya itu memang mengarut,” kata Rogers kepada FOX Sports.

Menurut Rogers, sumbangan Bellingham jauh melangkaui jumlah jaringan yang dihasilkannya kerana pemain Real Madrid itu sentiasa bekerja keras demi memastikan England berada di landasan kemenangan.

“Dia sudah berkali-kali membuktikan kehebatannya di pentas dunia. Dia bekerja keras, sentiasa memberikan segala-galanya untuk pasukan dan sebab itulah dia menerima ganjaran yang sewajarnya.

“Dia bukan sahaja pemain yang hebat, malah seorang insan yang baik. Kami semua menyayanginya,” katanya.

England kini bersedia menghadapi cabaran lebih getir apabila dijadual menentang Argentina pada aksi separuh akhir, dengan Bellingham sekali lagi dijangka menjadi tonggak utama skuad kendalian Thomas Tuchel dalam misi memburu tiket ke final Piala Dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN