PETALING JAYA: Malaysia berpotensi besar untuk mencapai sasaran menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam tempoh 10 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia hakikatnya berada dalam kelompok negara berpendapatan pertengahan tinggi mengikut skala Bank Dunia.
“(Cuma) kita ‘terperangkap’ dalam middle income ini untuk sekian lama manakala jiran kita Indonesia telah pun berhijrah kepada pendapatan pertengahan atas (upper middle income) baru-baru-baru ini.
POTENSI
“Justeru, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi yang tinggi kerana kita mempunyai banyak sumber serta guna tenaga yang muda dan sihat. Jika mahu katakan apa yang kurang, saya rasa ia lebih kepada pelaksanaan dasar secara konsisten.
“Dari segi infrastruktur, kita berada dalam keadaan yang baik. Cuma dari sudut penyelenggaraan perlu ditekankan seperti yang dapat kita lihat pada gangguan terhadap perkhidmatan monorail, transit aliran ringan (LRT) dan sebagainya.
“Jadi, ia lebih kepada penambahbaikan dan konsisten dalam pelaksanaan dasar. Malaysia adalah sebuah negara yang selesa untuk didiami hakikatnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Malaysia menyasarkan menjadi antara 30 kuasa ekonomi terbesar dunia menerusi pelan komprehensif bagi memastikan kekayaan negara dikongsi semua lapisan masyarakat.
Dinamakan Ekonomi Madani, rangka dan hala tuju perancangan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut menggariskan enam penanda aras lain yang akan mengembalikan status Malaysia sebagai kuasa ekonomi ulung di Asia.
Anwar turut menggariskan sasaran Malaysia antara 12 negara teratas dalam Indeks Daya Saing Global dan mencapai 45 peratus pendapatan tenaga kerja daripada jumlah keseluruhan pendapatan dalam masa kurang 10 tahun.
Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, walaupun dilihat seperti ada kebimbangan terhadap kestabilan politik, namun ia menunjukkan negara sedang melalui tempoh kematangan demokrasi sejak 2018.
Malah, katanya, ini menunjukkan demokrasi negara berfungsi dengan baik.
“Cuma perlu diperbaiki dari segi kestabilan kerana ia mempunyai implikasi terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar.
“Kematangan demokrasi ini hakikatnya boleh dianggap sesuatu yang positif kerana rakyat boleh memilih pemimpin mereka secara efektif,” katanya. – UTUSAN










