Sanusi kekal di Jeneri, calon MB Kedah – Musyidul Am

Sanusi kekal di Jeneri, calon MB Kedah – Musyidul Am

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas tetap mempertaruhkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dan calon utama Menteri Besar Kedah jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Malah, Muhammad Sanusi juga kekal sebagai Pengarah Pilihan Raya PN meskipun berdepan proses perundangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Sanusi memang layak untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar jika PN menang dalam PRN di negeri berkenaan.

BERSIH

Katanya, tindakan terhadap Sanusi bukan melemahkan Pas atau PN, sebaliknya akan menguatkan lagi parti itu untuk menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN di Kedah.

“Saya yakin Pas tidak perlu fikir hendak tukar atau apa pun disebabkan tangkapan, tuduhan terhadap Sanusi itu. Bagi saya, ia bukan melemahkan Pas sebaliknya akan menambah kekuatan kepada parti itu.

Selasa lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, selain orang Mela­yu, pengundi bukan Islam juga dijangka memberi sokongan kepada PN dalam PRN tidak lama lagi.

“Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekarang rasa cukup gerun dengan Sanusi dan ia bukan disebabkan Sanusi sendiri tetapi pertolongan daripada Allah SWT.

“Tindakan berterusan PH me­­nekan Sanusi akan menye­babkan dia lagi mendapat sokongan sampai dianggap hero Malaysia. Aura dan pengaruh Sanusi cukup kuat dan itu tidak boleh dinafikan lagi,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Ahmad Yakob dijangka kekal sebagai calon Menteri Besar Terengganu dan Kelantan.

“Bagaimanapun semua keputusan itu ditentukan parti itu kelak,” kata Hashim.

Selain itu, Hashim berkata, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga disenaraikan sebagai calon dalam PRN namun terpulang kepada beliau sama ada bersetuju atau sebaliknya.

Ditanya pula sama ada bekas pemain bola sepak Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar terpilih sebagai calon, Hashim berkata, berkemungkinan ada kerana beliau pun tidak pasti kerana terlalu ramai calon dinilai dalam proses tapisan Majlis Syura baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN