PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bagi memerangi aktiviti jenayah terancang terutama sindiket perjudian yang semakin berleluasa di negara ini.
Pelaksanaan POCA digantung sementara susulan keputusan mahkamah yang membawa kepada pembebasan beberapa tahanan di bawah akta tersebut ketika itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis memerlukan POCA bagi memudahkan penguatkuasaan memerangi pelbagai jenayah terancang seperti judi yang sindiket itu ketika ini sedang mengaut keuntungan besar.
Menurut beliau, selepas POCA digantung, polis hanya menggunakan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk membanteras aktiviti judi namun undang-undang tersebut tidak cukup untuk memerangi kegiatan tersebut.
“Namun jika ditahan mengikut POCA individu itu boleh disiasat sehingga 21 hari. Perkara ini mengerunkan operator atau pengendali sindiket judi,” kata beliau.
Kata beliau, sindiket perjudian dalam talian dilihat semakin berani mempromosikan secara terang-terangan kegiatan mereka di media sosial bagi menarik kaki judi.
“Polis tidak menggunakan POCA ketika ini ekoran arahan mahkamah dan kuasa polis berkaitan penguatkuasaan undang-undang tersebut tergantung.
“Tetapi POCA diperlukan bagi siasatan lanjut dalam usaha menjejaki tauke atau dalang sindiket perjudian selain menangani jenayah-jenayah terancang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Selain memerlukan POCA, Razarudin berkata, cabaran mengekang aktiviti judi juga disebabkan kebanyakan dalang atau penganjur judi yang dikesan polis berada di luar negara.
OPERASI
Bagaimanapun, menurut Razarudin, itu bukan alasan malah pihak polis terus mempergiatkan operasi dan serbuan bagi memastikan mereka yang melakukan jenayah judi dituduh di mahkamah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
ebelum ini POCA digubal bagi membendung kegiatan jenayah terancang termasuk aktiviti kongsi gelap, jenayah bersindiket atau jenayah berat.
Akta ini dipinda lima kali iaitu pada 1983, 2013, 2014, 2015 dan 2017 susulan pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Di bawah akta ini, tahanan pada peringkat pertama dibenar direman 21 hari sebelum dilanjutkan kepada peringkat kedua iaitu 38 hari.
Bagaimanapun, pada April tahun lalu, Mahkamah Persekutuan berkata Seksyen 4 dalam POCA adalah tidak berperlembagaan kerana mencabul kuasa kehakiman dan juga mencabul doktrin pengasingan kuasa.
Susulan itu, mahkamah membenarkan rayuan habeas corpus yang dipohon oleh salah seorang ahli sindiket jenayah terancang yang ditahan polis di Johor.
Berkaitan POCA juga, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bersama Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa ke Parlimen, bagi memudahkan pasukan polis menjalankan tugas.
REMAN
“Perkara dalam POCA perlu dipinda iaitu membabitkan Seksyen 4 (1) yang memberikan tempoh reman pertama selama 21 hari dan Seksyen 4 (2) iaitu membolehkan tempoh reman 38 hari untuk meneruskan siasatan.
“Pada saya ini satu perkara yang kita patut teliti supaya KDN boleh mengambil tindakan dengan menilai semula akta itu dapat diberikan semula kepada polis untuk menjalankan tugas,” kata Musa pada Forum Akta Pencegahan Jenayah 1959 di ibu negara Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, sebanyak 11,529 serbuan dijalankan dalam tempoh enam bulan tahun ini melibatkan kegiatan perjudian di seluruh negara.
Kata beliau, dalam tempoh tersebut, pihak polis turut menahan seramai 14,969 individu melibatkan penganjur, pemain dan penyelia.
“Tangkapan terbanyak dilakukan di Selangor iaitu 2,649 orang diikuti dengan Kuala Lumpur (2,262) orang serta Johor (1,629) orang.
“Berlaku peningkatan serbuan dan tangkapan dilakukan pihak polis pada tahun ini berbanding pada 2022.
“Ini membuktikan pihak polis tidak pernah berdiam diri dalam menangani kegiatan judi di negara ini walaupun tanpa POCA,” kata beliau. – UTUSAN










