ALOR SETAR: Segelintir peniaga dan penjaja kecil di negeri ini melahirkan keresahan ekoran jualan yang merosot sehingga 50 peratus sejak kebelakangan ini.
Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan masalah ekonomi ketika ini yang memaksa orang ramai berjimat cermat menyumbang kepada masalah itu.
“Banyak peniaga dan penjaja gerai makanan khususnya mengeluh nak dapat RM100 sehari pun susah. Sehari kadang-kadang boleh dapat RM50 sahaja sebab pelanggan semakin berkurangan.
“Pergilah tengok medan selera, bagaimana keadaannya, banyak kedai yang tidak buka malah ada yang sudah tutup kerana pelanggan semakin kurang,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Beliau memberitahu, keadaan itu semakin ketara selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Lebih teruk apabila bahan mentah mengalami kenaikan harga sehingga menambah kos operasi kami,” jelasnya.
Katanya, situasi lebih parah bagi peniaga kedai makan berasaskan makanan laut dan tomyam yang terpaksa bersaing dengan peniaga dari negara jiran.
“Banyak peniaga merungut terpaksa tutup sementara kedai atau gerai mereka dan buka pada hari tertentu sahaja. Kalau buka, pelanggan tidak ada rugilah makanan yang sudah dimasak. Nak tutup pula, itulah punca pendapatan mereka,” keluhnya.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan nasib penjaja gerai di jalanan apabila lesen zon perniagaan bebas itu akan tamat pada hujung tahun ini.
“Ini pun satu masalah yang menanti peniaga kecil kerana kita lihat sekarang banyak yang sudah selesa berniaga di jalanan dan apabila lesen mereka sudah tamat hujung tahun ini entah di mana mereka akan berniaga pula.
“Kita berharap kerajaan akan menyediakan satu tempat yang lebih baik untuk mereka berniaga kelak demi kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu seorang peniaga minuman berasaskan kopi, Khaliza Ariffin, 30, tidak menafikan pelanggannya semakin berkurangan sehingga mengakibatkan dia menanggung kerugian apabila bahan mentah rosak.
“Dahulu boleh jual 30 hingga 40 cawan minuman sehari tetapi sekarang 10 hingga 15 cawan sahaja. Berniaga minuman ini bahan mentahnya cepat rosak, tambahan pula saya berniaga di tepi jalan.
“Kadang-kadang terpaksa buang bahan yang agak lama seperti susu. Mungkin orang nak berjimat sekarang dan tak mahu makan di luar sangat. Tetapi walaupun untung kecil terpaksalah juga berniaga kalau tidak, tak adalah wang,” katanya.-UTUSAN










