Pengikut ajaran SiHulk bersembunyi di New Zealand - Utusan Malaysia

Pengikut ajaran SiHulk bersembunyi di New Zealand

MOHD. FARED MOHD. KHALID menunjukkan beberapa akaun media sosial yang dipercayai mempromosikan ajaran sesat SiHulk dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Individu yang dikesan mengaku sebagai pengikut ajaran sesat SiHulk dalam beberapa video yang tular dalam media sosial baru-baru ini dipercayai berada di New Zealand.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan sukar diambil terhadap individu terlibat kerana mereka berada di luar negara.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka pulang ke negeri ini, tangkapan boleh dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Pengasas dan juga pengikut ajaran sesat SiHulk ini sebenarnya pengecut. Mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara.

“Siasatan dibuat mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand. Apabila di luar negara, mereka di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan. Itu kesulitan yang perlu difahami.

“Di Johor, ajaran itu telah difatwakan sesat sejak Julai 2021. Maka semua aktiviti yang berkaitan dengannya termasuk perniagaan dan perkhidmatan adalah dilarang dan difatwakan haram.

“Sehubungan itu, orang awam diminta untuk tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana individu atau apa-apa aktiviti dijalankan pihak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi membendung ajaran itu.

“Antara langkah boleh diambil buat waktu ini adalah untuk menyekat penyebaran video-video oleh golongan itu. Jelas ajaran itu telah menyimpang dan sesat, terkeluar daripada ajaran Islam yang diamalkan di negeri Johor,” katanya.

Mohd. Fared turut memaklumkan bahawa aktiviti perniagaan melibatkan air minuman yang dijual golongan itu juga telah dihentikan selepas beberapa kilangnya ditutup.

“Status terkini kilang air SiHulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia telah ditutup. Difahamkan penutupan itu selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.

Baru-baru ini, ajaran berkenaan kembali menjadi sebutan masyarakat selepas tular beberapa video memaparkan pengikut ajaran itu mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Salah satu video melibatkan seramai lima individu yang dipercayai merupakan sebuah keluarga menerusi akaun Facebook Nurul Sakinah Noor Hashim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya