Pemberi maklumat kepada JKDM dapat ganjaran 10 peratus - Utusan Malaysia

Pemberi maklumat kepada JKDM dapat ganjaran 10 peratus

AHMAD Maslan ketika menyampaikan sumbangan sempena Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM di Surau Taawuniah, Rumah Rakyat Telok Kemang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan pemberian ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung barangan lari cukai RMK  iaitu rokok, minuman keras dan kenderaan kepada jabatan berkenaan sekiranya terdapat rampasan kejayaan hasil dari maklumat berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ganjaran bagi pemberi maklumat kategori A berkenaan diberikan sebanyak 10 peratus daripada nilai rampasan adalah termasuk maklumat berkaitan dadah yang masuk atau transit di negara ini.

Menurutnya, pemberi maklumat kategori A yang dimaksudkan adalah sekiranya serbuan yang dibuat berdasarkan maklumat berkenaan berjaya menemui barang lari cukai ataupun dadah dan juga individu yang disyaki terbabit dalam barangan tersebut.

“Kerja-kerja jahat ini masih banyak lagi dibuat di luar sana. Oleh kerana itu, kita memerlukan maklumat-maklumat yang tepat daripada orang ramai kerana perlarian cukai ini merugikan negara, merugikan rakyat. 

“Oleh itu, saya ingin menyeru sama ada rakyat biasa atau orang dalam untuk memberikan maklumat dan akan diberikan ganjaran jika benar.

“Kita dah mulakan pemberian ganjaran ini sejak dari dulu lagi tetapi tidak diuar-uarkan. Ketua Pengarah JKDM (Datuk Zazuli Johan) baharu sahaja tandatangan ganjaran RM1 juta kepada pemberi maklumat dan memang ada peruntukan untuk pemberi ganjaran yang mana kita akan nilaikan mengikut kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM di Surau Taawuniah, Rumah Rakyat Telok Kemang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohamad Hafiz Ishak dan Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli.

Pada program berkenaan, warga JKDM bergotong-royong membersihkan surau dan menyalurkan bantuan berupa makanan keperluan harian kepada individu memerlukan terdiri daripada berbilang bangsa.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad memberitahu, di Pulau Pinang JKDM berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 1,068 kilogram dadah dan semalam sebanyak 232 kilogram dadah jenis amphetamine bernilai RM17 juta.

“Maklumat lanjut akan diberikan nanti dalam sidang media JKDM. Dalam kes seperti rampasan dadah ini, ganjaran juga boleh diberikan kepada pemberi maklumat,” katanya.

Menurut beliau, masih ramai yang tidak mengetahui tugas JKDM bukan hanya mengutip cukai atau hasil untuk negara bahkan untuk menjaga ketenteraman negara.

“Jadi dadah ini aspek keselamatan negara, lagi banyak maklumat, lagi banyak yang dapat dirampas dan negara selamat. Daripada aspek ini, kita mendapatkan maklumat hasil dari risikan pasukan sendiri, maklumat orang ramai, orang dalam dan JKDM negara lain,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Hafiz berkata, sehingga 31 Jun lalu, JKDM Negeri Sembilan telah pun mencapai kutipan sebanyak RM308 juta iaitu 52.38 peratus berbanding RM588 juta sasaran hasil terkini pada tahun ini. 

Menurutnya, setakat ini, JKDM dilaporkan telah mengutip cukai berjumlah RM28.13 bilion setakat 17 Julai lalu iaitu 3.6 peratus lebih tinggi berbanding kutipan tempoh sama pada 2022 berjumlah RM27.16 bilion.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN