KOTA BHARU: Seorang pekerja am di sebuah pasar raya maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Dusun Raja di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian apabila dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang pensyarah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan dari arah Lundang ke bulatan Chempaka, di sini.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 59 tahun yang tidak bermajthenti di lampu isyarat merah dari arah Jalan Berek 12.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum terlanggar sebuah motosikal yang berhenti di simpang lampu isyarat arah bertentangan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Viva dan penunggang sebuah motosikal yang berada berhampiran lampu isyarat tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN











