Pegawai Imigresen derita kanser otak, lumpuh

Pegawai Imigresen derita kanser otak, lumpuh

AZURA Sofian Lim yang mengidap kanser otak ditemani abangnya, Aswan ketika mendapatkan rawatan di hospital semasa ditemui di rumah mereka di Kobah, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Seorang wanita yang juga pegawai imigresen kini hanya mampu terlantar akibat penyakit kanser otak dan lumpuh separuh badan yang dihidapinya.

Lebih menyayat hati apabila melihat wanita itu, Azura Sofian Lim, 41, terpaksa bergantung kepada ibunya, Che Kamah Taib, 72, yang juga semakin uzur memandangkan suaminya menetap di Ipoh, Perak.

Menurut Che Kamah, anak perempuannya yang berkhidmat sebagai pegawai imigresen di Ipoh itu disahkan menghidap kanser tahap empat sejak Januari lepas.

“Kadang kala Azura juga diserang penyakit sawan. Itu yang menyedihkan saya apabila melihat penderitaannya. Pelbagai jenis kaedah perubatan sudah diusahakan namun penyakitnya menjadi bertambah serius.

“Setakat ini, tiga kali pembedahan dilakukan pada bahagian kepala semasa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kobah, di sini, semalam.

Che Kamah berkata, dia terpaksa menguruskan Azura memandangkan bahagian sebelah kiri kaki dan tangan anaknya lumpuh.

“Banyak wang digunakan untuk membeli susu, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan setiap bulan. Lagipun, Azura juga ada minta untuk bersara awal tetapi sampai sekarang belum diluluskan.

“Abangnya, Aswan, 44, banyak membantu dalam hal ini dan sering membawa adiknya bagi mendapatkan rawatan di HSB pada waktu yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, Azura mempunyai seorang anak, Muhammad Safwan Mohd. Rani, 17, yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang pada tahun ini.

Che Kamah berkata, keadaan bertambah menyedihkan kerana suami Azura tidak begitu mengambil berat selepas mengetahui isterinya menghidap penyakit tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank milik Che Kamah Taib bernombor 2-00-5091-00018422-0.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN