PDRM bertindak ikut undang-undang – KPN

PDRM bertindak ikut undang-undang – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, setiap tindakan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu atas faktor politik.

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Razarudin berkata, menjadi tanggungjawab polis bagi memastikan sebarang kenyataan yang dikeluarkan termasuk di media sosial oleh mana-mana individu dikawal agar tidak menggugat keamanan negara.

“Antara tanggungjawab polis adalah mengekalkan keselamatan negara. Justeru, apa sahaja perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan negara maka kami mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang untuk menghentikan ia daripada berlaku.

MUSIBAH

“Kita hendak pastikan bahawa tidak ada sesiapa melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan musibah dan boleh menjejaskan keselamatan awam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razar­udin turut memberi peringatan kepada semua anggota masyarakat terutama ketika hampir dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya tidak menyentuh isu sensitif melibatkan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) atau 3R.

Kata beliau, setiap pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak menularkan kenyataan-kenyataan yang mampu mengancam keselamatan negara.

“Mana-mana individu bebas memberikan apa jua pandangan asalkan tidak menyentuh aspek 3R,” jelasnya

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan pertuduhan ke atasnya adalah satu petunjuk kerajaan dalam ketakutan.

Muhammad Sanusi berkata, pertuduhan itu jelas bermotifkan politik dan bertujuan menjejaskan beliau dalam mendepani PRN.

Beliau mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Selayang tas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Sela­ngor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan mengatakan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi bagi melumpuhkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Katanya, secara umumnya beliau tidak mahu Akta Hasutan digunakan dalam pendakwaan di mahkamah, dengan menegaskan undang-undang itu tidak akan digunakan, jika membabitkan kritikan terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, ucapan Muhammad Sanusi minggu lalu menyentuh kedudukan dan martabat golongan diraja yang perlu dipertahan, bagi mengelak ia menjadi perbahasan politik yang tidak sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN