KUALA TERENGGANU: Program Payang Walk akan diperkenal dalam bulan ini sebagai strategi untuk melonjak ekonomi peniaga kecil dan pengayuh beca di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, buat permulaan, seramai 100 peniaga akan terlibat dalam program yang diadakan di sekitar Pasar Kedai Payang setiap Jumaat bermula 21 Julai ini.
Menurutnya, Payang Walk adalah inisiatif kerajaan negeri untuk melonjakkan lagi potensi pelancongan bandaraya Kuala Terengganu sebagai bandar raya warisan pesisir air.
“Program ini mempunyai beberapa segmen utama iaitu aktiviti jualan barangan tempatan, jualan makanan tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian seperti rodat, wayang kulit dan dikir barat.
“Selain aktiviti jualan pelbagai barangan, Payang Walk juga akan memberi peluang kepada pelancong untuk menaiki beca warisan di sekitar Pasar Kedai Payang dan Kampung Cina untuk melihat sendiri keindahan lokasi tersebut dengan lebih dekat.
“Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh tiga kilometer. Beca-beca sedia ada akan dinaik taraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),” katanya di sini, hari ini
Ketika ini, terdapat empat beca yang telah dinaik taraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan lagi masih di peringkat ubah suai.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, sepanjang operasi Payang Walk dan beca warisan itu, sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar di Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang pula akan ditutup sepenuhnya untuk laluan kenderaan bermotor.
“Penyediaan laluan khas beca dan penutupan jalan ini hanya pada hari Jumaat sahaja bermula pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.
“Sekiranya berjaya kelak, kerajaan negeri akan memperluaskan program tersebut ke pusat pelancongan di Dataran Batu Buruk dan Taman Bandaran Kuala Nerus agar lebih ramai rakyat mendapat limpahan manfaatnya,” katanya. -UTUSAN










