LKIM mahu perluaskan pembukaan Pasar Nelayan di bandar - Utusan Malaysia

LKIM mahu perluaskan pembukaan Pasar Nelayan di bandar

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kanan) melihat ikan-ikan yang dijual di Pasar Nelayan Seremban 2 selepas merasmikan pembukaan premis berkenaan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasar untuk memperluaskan lagi produk Pasar Nelayan di kawasan-kawasan bandar di seluruh negara supaya pengguna di kawasan berkenaan turut memperoleh manfaat mendapat bekalan ikan segar dengan harga berpatutan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pada masa yang sama, produk Pasar Nelayan ini juga membantu nelayan memperoleh lebih pendapatan dengan jaminan bekalan ikan yang ditangkap mereka dibeli oleh pihak LKIM.

“LKIM telah putuskan supaya Pasar Nelayan ini perlu menjadi produk yang perlu diperkasakan dalam membawa agenda keterjaminan makanan. Kami mahu pastikan rakyat di seluruh negara, bukan hanya di kawasan-kawasan pantai sahaja tetapi di kawasan bandar atau yang jauh dari pantai juga mendapat manfaat daripada pembukaan Pasar Nelayan.

“Harga ikan di sini adalah lebih murah berbanding di pasaran kerana bekalan ikan diperoleh terus dari nelayan, tidak ada lagi orang tengah yang terlibat. Menerusi Pasar Nelayan ini, kita memotong rantaian bekalan itu dan dapat mengurangkan harga ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pembukaan Pasar Nelayan Seremban 2 di sini hari ini.

Pasar Nelayan berkenaan merupakan yang ke-136 telah dibuka di seluruh negara selain yang keempat di Negeri Sembilan dan yang pertama seumpamanya di bandar ini.

Muhammad Faiz dalam pada itu menambah, Pasar Nelayan yang dibuka di Seremban 2 tersebut dengan konsep lebih moden tersebut dilihat mempunyai potensi untuk turut dibuka di bandar-bandar lain.

Jelas beliau, LKIM turut meletakkan sasaran supaya setiap negeri turut mempunyai sebuah Pasar Nelayan seumpamanya.

“Kami akan menggerakkan potensi Pasar Nelayan di bandar ini ke negeri-negeri yang lain, kita mesti berani meneroka peluang di kawasan bandar dan mahu jenama Pasar Nelayan ini menjadi bualan rakyat dalam konteks bekalan ikan.

“Ada beberapa buah Pasar Nelayan yang dibuka di kawasan bandar di negeri-negeri lain namun yang berkonsep moden seperti di Seremban 2, ini yang pertama dan ia merupakan projek rintis kami, sasaran kami setiap negeri perlu ada sebuah outlet seperti ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya