Lelaki warganegara Pakistan dipenjara, denda RM5,000 cabul pelajar dalam bas - Utusan Malaysia

Lelaki warganegara Pakistan dipenjara, denda RM5,000 cabul pelajar dalam bas

MUHAMMAD Hassan (tengah) dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Gemas, Tampin hari ini atas kesalahan mencabul seorang pelajar universiti di dalam sebuah bas ekspres pada Ahad lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Mahkamah Majistret Gemas di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM5,000 terhadap seorang lelaki warganegara Pakistan atas kesalahan mencabul seorang pelajar universiti di dalam sebuah bas ekspres, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Hassan, 34, yang menangis teresak-esak sejak dari awal pertuduhan dibacakan, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan hukuman 15 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran berkenaan, selain tertuduh akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia selepas tamat menjalani hukuman berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 3 Julai lalu kira-kira pukul 11.26 malam bertempat di tempat duduk nombor 35 di dalam bas ekspres semasa berada di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kawasan Pedas Linggi, Rembau, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang perempuan dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh telah menyentuh bahu, buah dada kiri dan memegang paha serta meraba sehingga hampir pada kemaluannya. 

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukumannya dapat dikurangkan berikutan dia berasa sangat malu dengan perbuatannya itu selain menanggung keluarga di kampung halaman.

Bagaimanapun, Tsu Sheng dalam hujahannya menjelaskan tertuduh merupakan warga asing dan disahkan dalam Program Rekabilasi Tenaga Kerja.

“Mangsa dalam kes ini adalah pelajar universiti berusia 20 tahun. Merujuk fakta kes, mangsa dan tertuduh tidak saling berkenaan. Tindakan tertuduh telah menimbulkan satu trauma yang amat serius terhadap mangsa.

“Adalah susah untuk menyatakan bilakah trauma mangsa boleh dipulihkan. Mohon mahkamah mengambil kira kes-kes keganasan seksual memandangkan kes yang berlaku ini bukan sahaja menjejaskan tertuduh bahkan mendatangkan trauma kepada mangsa,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama, mangsa dalam perjalanan menaiki bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan Kuala Lumpur menghala ke Melaka Sentral.

Sebaik sampai di kawasan Pedas Linggi, tertuduh telah menyentuh buah dada kiri serta meraba paha kiri mangsa sehingga hampir pada kemaluan mangsa dengan menggunakan tangan kanan.

Mangsa bangun dari tempat duduknya sambil menangis ketakutan dan disaksikan beberapa penumpang bas yang terdengar tangisan mangsa.

Tertuduh kemudiannya meminta mangsa untuk duduk semula dan seorang saksi kejadian yang juga penumpang telah membantu mangsa dengan menarik tangan tertuduh supaya memberi laluan kepada mangsa untuk keluar dari tempat duduk itu dan mencari tempat kosong.

 Mangsa kemudiannya memberitahu kepada pemandu bas yang kemudiannya memandu ke Balai Polis Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, untuk membuat laporan polis seterusnya menyerahkan tertuduh kepada polis.-UTUSAN,

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN