JELI: Seorang pemandu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan trak pikap curi berhampiran Sungai Golok di sini selepas cubaannya untuk menyeludup keluar kenderaan itu ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.
Serbuan pukul 9.35 pagi itu di lakukan oleh sepasukan anggota Briged Kelapan Infantri Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin di kawasan tanggungjawab.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas maklumat risikan, anggota bertugas telah berjaya menjejaki sebuah trak pikap yang dipercayai telah dicuri.
Menurutnya, sejurus kehadiran anggota bertugas pemandu trak pikap itu telah bertindak melarikan diri menyeberangi Sungai Golok dengan meninggalkan kenderaan di kawasan tebing.
“Pihak kami tidak menolak kemungkinan kenderaan itu akan meredah sungai. Hal ini kerana ada beberapa kawasan airnya cetek.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati trak pikap itu dari jenis Toyota Hilux. Nilai kenderaan pacuan empat roda itu dianggarkan berjumlah RM149,880,” katanya.
2 Divisyen memberitahu, pihaknya terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludpan.-UTUSAN